Foto hiasan

PUTRAJAYA – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, peluang pilihan raya kilat diadakan adalah sangat tinggi dan parti pemerintah dilihat sanggup “bertaruh” untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat.

Ka Siong mengakui keadaan politik yang tidak stabil telah menjejaskan kemasukan pelabur asing ke negara ini.

“Daripada bertelagah, parti pemerintah boleh menghadapi pilihan raya. Kami boleh meminta mandat baharu daripada rakyat.

“Saya rasa tiada masalah kerana kami bersiap sedia setiap hari untuk menghadapi pilihan raya,” katanya dipetik Sinchew Daily dalam wawancara bersama akhbar Cina.

Ka Siong berkata, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon telah dilantik mengetuai jawatankuasa pilihan raya parti dan calon-calon yang layak mewakili parti sedang dikenal pasti.

Ditanya sama ada MCA akan menyertai pilihan raya melalui identiti Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN), Ka Siong berkata, isu itu akan diselesaikan apabila sampai masanya.

Datuk Seri Wee Ka Siong

Katanya, walaupun pelbagai keputusan akan dibuat berdasarkan perkembangan politik semasa, tetapi MCA berpegang kepada prinsip “lawan kepada musuh adalah kawan.”

Jelasnya, MCA justeru akan berlawan habis-habisan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ditanya sama ada perbincangan dijalankan antara PN mengenai persediaan menghadapi pilihan raya, Ka Siong tidak memberi jawapan yang jelas.

“Kami berhubungan setiap hari dan ia tidak terhad kepada urusan rasmi sahaja. Kami bukan ahli politik jika kami tidak berbincang tentang politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu, PN tidak pernah gentar untuk berdepan dengan PH di Parlimen pada Julai. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.