Tan Sri Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemungkinan besar terpaksa melakukan ujian Covid-19 sekali lagi hari ini dan berharap akan mendapat keputusan sekurang-kurangnya sebelum pagi esok.

Perkara itu didedahkan oleh beliau di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebelum prosiding pengguguran Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selepas permohonan pengguguran itu, sepatutnya perbicaraan audit 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Shafee mendedahkan dirinya hanya mengetahui salah seorang daripada peguamnya, Rahman Hazlan mengalami demam dan simptom lain sejak semalam dan berkemungkinan perlu melakukan ujian Covid-19.

“Rahman kurang sihat, ada tunjuk tanda demam dan batuk-batuk serta memberitahu saya dirinya tidak akan hadir perbicaraan hari ini melalui pesanan teks. Saya dengan segera memintanya untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya hanya dapat tahu tentang perkara ini sekitar jam 3.45 pagi tadi. Walaupun Rahman tidak ke pejabat namun pada masa sama ada berjumpa dengan saya ketika perbicaraan Cradle Fund Jumaat lepas. Saya adalah kontak paling dekat dengannya.

“Jadi saya perlu melakukan ujian ini, Rahmat juga akan berbuat demikian dan berharap keputusan ini akan diketahui sekurangnya-kurangnya pagi esok, selalunya keputusan dalam tempoh 24 jam,” katanya sebentar tadi.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan perbicaraan audit 1MDB ditangguh sehingga jam 10 pagi esok bagi memberi laluan kepada Shafee dan Rahmat supaya dapat melakukan ujian Covid-19 itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram juga tidak melahirkan sebarang bantahan kerana katanya jika ia berkaitan kesihatan maka beliau tidak akan sesekali membantah.

“Saya rasa Shafee juga perlu buat ujian Covid-19 kerana peguamnya juga ada tunjuk simptom. Saya memang tidak ada bantahan jika ianya ada kaitan dengan kesihatan,” katanya.

Shafee yang juga merupakan peguam utama Najib juga memberitahu dirinya akan melakukan ujian Covid-19 buat kali ke-6 dalam tempoh pandemik ini berleluasa sejak Disember tahun lalu.

Beberapa kali perbicaraan berprofil tinggi terpaksa ditangguhkan berikutan kebimbangan wujudnya penularan penyakit berjangkit ini terutamanya dalam kalangan pasukan Shafee sendiri.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan esok jam 10.30 pagi bagi menyambung semula perbicaraan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.