PUTRAJAYA – Gara-gara tular tugasan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikatakan menyamar untuk menyamun ketika bertugas ke rumah pesakit, proses saringan akan ditambah baik.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan penambahbaikan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan kehadiran pegawai atau kakitangan petugas KKM ke rumah rumah pesakit atau individu yang dikuarantin untuk saringan kes Covid-19.
Langkah itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan orang awam bagi memudahkan pengecaman pegawai kesihatan dengan individu meragukan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mereka menghubungi pesakit dahulu sebelum mengunjungi rumah atau tempat mereka diasingkan.
Dalam perkara berkenaan, katanya, kerjasama masyarakat juga diperlukan malah mereka digalakkan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau pihak polis jika kunjungan seseorang individu yang bertujuan melakukan saringan atau rawatan mencurigakan.
“Bagi warga kerja KKM pula, mereka juga harus memakai pakaian seragam dan membawa kad kuasa seperti ditetapkan dalam peraturan pihak KKM.
“Kalau ada ketidakpastian ataupun rasa sangsi boleh mereka (orang awam) menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah.
“Tetapi sepatutnya kita kena menghubungi mereka untuk mendapatkan kepastian sama ada pasukan KKM ini dihantar ke rumah tertentu untuk kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau kes yang disyaki ataupun kes kuarantin di rumah.
“Sebagai contoh, kita memang menjalankan perhidmatan kesihatan ke rumah kepada ibu dan bayi baru bersalin dan kalau seseorang jururawat datang ke rumah untuk merawat ibu dan bayi mereka memakai uniform dan ada kad kuasa baharu kita dapat memastikannya, ” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menjawab apabila ditanya mengenai isu gambar tular dalam media sosial yang mendakwa beberapa individu menyamar sebagai petugas KKM, datang ke rumah untuk melakukan ujian swap atau calitan.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Noor Hisham memberitahu, KKM juga terus menjalankan siasatan selepas gambar berkenaan tular dan hasil siasatan memang ia membabitkan warga kerja kementerian.
“Kes ini sudah selesai dan laporan polis pun sudah dibuat….kita pun sendiri pada mulanya tidak pasti betul atau tidak kenyataan di Facebook itu tetapi apa yang penting kita terus menjalankan siasatan, ” tegasnya lagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam kenyataan hari ini mengesahkan berita tular itu sebenarnya tidak benar dan berlaku salah faham.
Katanya, siasatan polis mendapati mereka memang merupakan pegawai kesihatan dan daerah Petaling yang sah dan hadir melakukan pemeriksaan pesakit PUI dan laporan polis oleh Kesihatan Daerah Petaling telah dibuat menafikan berita yang ditularkan awam adalah palsu.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: