Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Warga asing terus menyumbang kepada penambahan kes Covid-19 di negara ini apabila laporan hari ini menyaksikan enam kes positif melibatkan mereka yang menetap di sini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 11 kes positif direkodkan setakat 12 tengahari tadi sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 8,505 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 651 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 11 kes positif itu 1 kes adalah import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam kes adalah bukan warganegara manakala empat kes adalah dalam kalangan warganegara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kata Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan sebanyak 333 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj  hari ini di mana 307 kes adalah bukan warganegara dan 26 kes dalam kalangan warganegara.

Justeru jelas beliau, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,733 kes (90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Bagi kes jangkitan dalam negara enam dalam kalangan bukan warganegara adalah dua kes di Kuala Lumpur iaitu satu kes saringan masuk kerja dan satu kes kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2.

“Seterusnya, empat kes lagi dikesan di Negeri Sembilan iaitu tiga kes Kluster Pedas dan satu kes Kluster Syarikat Pembersihan,’ katanya lagi.

Penularan empat kes positif warga tempatan pula membabitkan satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Putrajaya dan kemudian dipindah ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Menurutnya, tiga lagi kes positif warganegara adalah merupakan kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

“Mereka adalah ahli keluarga kepada kes ke-8, 453. Sehingga kini, sebanyak empat kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi. Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus menyebabkan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes  atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast