Dazma Shah Daud.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor perlu mempertimbangkan pembatalan bil dan memberi air secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (M40) yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Penaung Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputra Petaling Jaya, Dazma Shah Daud berkata, gesaan itu wajar berikutan kebanyakan rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 selama terbeban dengan kos sara hidup.

“Pasca PKP juga menyaksikan ramai rakyat khususnya peniaga terpaksa bertungkus-lumus untuk membina semula kehidupan mereka.

“Disebabkan itulah, saya berharap agar kerajaan negeri dapat mempertimbangkan untuk memberi air percuma kepada seluruh rakyat sepanjang PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, kata Dazma, ramai pengguna air di Selangor mengeluh apabila mendapati bil diterima mereka pada bulan Mei agak tinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Kenaikan berkali ganda yang didakwa itu menyebabkan ramai pihak mempertikaikan jumlah bayaran bulanan yang harus dilunaskan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan sebelum ini turut memaklumkan bahawa bermula 18 Mac sehingga 30 April lalu, pihaknya tidak membuat bacaan meter namun hanya mengeluarkan bil anggaran berdasarkan kepada maklumat purata penggunaan harian pada bulan sebelumnya.

Pembacaan meter mula dilaksanakan semula sejak 2 Mei lalu dan bil pada bulan Mac akan diselaraskan melalui bil bulan April serta Mei 2020 berdasarkan kepada bacaan sebenar meter di premis pelanggan.

Mengulas lanjut, Dazma berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak dapat memberi air percuma dalam tempoh PKP tersebut, pihaknya mencadangkan agar potongan 50 peratus diberikan kepada kepada setiap pelanggan.

“Kita faham banyak pihak terkesan sejak pelaksanaan PKP ini dan disebabkan itu saya mohon keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang terkesan,” katanya.- MalaysiaGazette