Gambar hiasan

KUANTAN – Sejumlah lapan borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini telah dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang setakat hari ini.

Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, daripada jumlah itu, empat borang dibeli wakil Barisan Nasional (BN) manakala empat lagi oleh wakil Bebas.

Katanya, borang pencalonan itu mula dijual sejak 15 Mei lalu di pejabat SPR Pahang dan di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, dekat sini.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung.

SPR menetapkan PRK DUN Chini diadakan pada 4 Julai dengan 20 Jun sebagai hari penamaan, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – BERNAMA