Asap berkepul-kepul dari pejabat perhubungan Korea yang dimusnahkan oleh Pyongyang. foto NYTimes

SEOUL – Korea Utara meletup dan menghancurkan pejabat perhubungan antara Korea di kota sempadannya, dekat Kaesong , kata Korea Selatan.

Sebelum ini Pyongyang mengancam untuk mengambil tindakan jika kumpulan pembelot di Korea Selatan berterusan mengirim risalah propaganda ke Korea Utara.

Media Korea Selatan melaporkan mendengar letupan itu dan asap dapat dilihat di Kaesong.

Kementerian Penyatuan Selatan kemudian mengatakan pejabat perhubungan telah hancur.

Seorang sumber tentera Korea Selatan memberitahu Reuters bahawa ada tanda-tanda kerja pemusnahan dilakukan awal pagi tadi.

Letupan bangunan itu disaksikan sendiri secara langsung oleh pegawai Korea Selatan.

Ketegangan meningkat ketika Pyongyang mengancam akan memutuskan hubungan antara Korea dan mengambil tindakan balas terhadap propaganda yang membawa mesej mengkritik pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, termasuk membangkitkan isu pelanggaran hak asasi manusia.

Pejabat perhubungan antara Korea ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai sebahagian daripada siri projek yang bertujuan untuk mengurangkan ketegangan antara kedua Korea.

Ketika beroperasi, puluhan pegawai dari kedua belah pihak bekerja di bangunan itu, dengan pegawai Korea Selatan ke Korea Utara setiap minggu.

Pejabat itu ditutup sejak Januari lalu disebabkan kebimbangan wabak koronavirus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast