KUALA LUMPUR – Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan seolah menyokong dan bersetuju dengan penjelasan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia itu menyifatkan kenyataan yang diputar belitkan pihak tidak bertanggungjawab itu sebagai sarkastik.
“Sarkastik, tapi fitnah adalah jijik,” tegasnya menerusi ciapan balas akaun Twitternya hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas turut memaparkan kenyataan palsu itu, yang antara lain menyatakan, beliau selaku menteri menyokong penuh kenaikan mendadak tarif elektrik yang dialami pengguna sekarang.
Kenyataan itu juga diputarbelit sebagai beliau berkata, Pas tiada masalah, kami berpuas hati dengan penjelasan Pengerusi TNB yang juga Ahli Parlimen UMNO itu. Tapi kalau DAP, tak perlu penjelasan pun kami akan bangkang.
Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan itu adalah palsu dan beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan berbentuk menyokong atau bersetuju dengan tindakan TNB. – MalaysiaGazette