Foto hiasan

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil ubat steroid dexamethasone tanpa preskripsi doktor biar pun ujian klinikal menunjukkan ubat tersebut mampu mengurangkan risiko kematian pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan dan pengambilannya perlu diseimbangkan dengan keperluan pesakit.

“KKM menyeru orang ramai supaya waspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat ini tanpa preskripsi daripada doktor,” katanya pada sidang media perkembangan dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini.

Menurut beliau, dexamethasone yang dikategorikan ubat steroid itu digunakan untuk mengurangkan radang (inflammation) dalam pelbagai penyakit.

Terbaru dilaporkan hasil penemuan saintifik ‘recovery trial’ di University of Oxford, United Kingdom menunjukkan ubat tersebut dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit Covid-19 bergejala pernafasan yang serius terutamanya yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun begitu, ujian klinikal ini juga mendapati bahawa ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit Covid-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit tidak memerlukan bantuan pernafasan,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham memaklumkan KKM menggunakan ubat tersebut kepada pesakit Covid-19 di tahap lima.

“Penggunaannya sebanyak 4mg tiga kali sehari,” ujar beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast