Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini penguatkuasaan JPJ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2020

PUTRAJAYA – Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memperbaharui segera Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat.

Saranan itu bagi mengelak kesesakan orang ramai ketika berurusan pada saat akhir di  855 kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara jika  PKPP tidak dilanjutkan selepas 31 Ogos ini nanti.

Ketua Pengarah Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, walaupun kaunter JPJ sudah beroperasi sepenuhnya bagi semua jenis urus niaga bermula 18 Mei lalu termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC), pengecualian pembaharuan lesen LKM dan LMM yang tamat tempoh dalam waktu PKP telah diberikan di bawah kuasa Menteri Pengangkutan selaras dengan Seksyen 66(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Oleh kerana kesemua 855 kaunter sudah beroperasi sepenuhnya tujuh hari seminggu termasuk UTC sehingga 10 malam, kita menggalakkan untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai kenderaan walaupun tiada penguatkuasaan atau tindakan saman apabila memandu di atas jalan dengan syarat insurans wajib aktif atau untuk memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang insiden di atas jalan.

“Daripada tempoh 18 Mac hingga 14 Jun ini, sebanyak 2,119,653 cukai jalan dan 2,184,508 lesen memandu tidak diperbaharui oleh pemandu di seluruh negara dan tertangguh akibat PKP ini dan JPJ tidak akan mengambil tindakan terhadap kes cukai jalan dan lesen memandu yang tamat tempoh dalam tempoh PKP ini.

“Bagaimanapun bagi kesalahan lain seperti lebih muatan, melebihi had laju yang ditetapkan, kesalahan utama dan lain lain penguatkuasaan seperti menggunakan telefon bimbit dan memandu di lorong kecemasan akan diambil tindakan saman seperti bias,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan rakyat berurusan melalui kaedah pendigitalan bagi mengurangkan transaksi tunai di kaunter dengan keadaan beratur panjang atau bersesak termasuk di pejabat Pos bagi memperbaharui cukai jalan sahaja, selain sistem khidmat pintu ke pintu diperkenalkan JPJ dengan kerjasama pejabat pos.

Katanya mulai 1 Julai ini khidmat pos pintu ke pintu akan diperkenalkan yang mana orang ramai tidak perlu beratur panjang ke pejabat pos untuk urusan pembaharuan cukai jalan sebaliknya ia akan dihantar ke rumah oleh pos.

“Tak perlu susah-susah beratur dan mencetuskan kesesakan tanpa penjarakan sosial sebaliknya menggunakan kata kunci pengenalan diri awam di MySikap untuk melakukan pembayaran cukai jalan. Kemudian Pos Malaysia akan menghantar cukai jalan anda ke rumah.

“Bagaimanapun khidmat ini tidak digunapakai untuk pemilik kenderaan komersial dan e-hailing yang mana mereka masih diwajibkan berurusan di kaunter JPJ seperti biasa,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette