BEIJING – Berjuta-juta penduduk di Beijing hidup dengan peraturan baharu susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19.
Ibu kota China kini berada dalam amaran kategori kedua.
Beijing merekodkan 31 kes koronavirus – menjadikan jumlah keseluruhan sejak minggu lalu kepada 137 orang.
Sebelum kemunculan kes, Beijing telah merekodkan sifar kes jangkitan koronavirus tempatan selama 57 hari.
Jangkitan dipercayai bermula di pasar Xinfandi yang membekalkan 80% daging dan sayur-sayuran.
Sekurang-kurangnya 27 kejiranan yang berhampiran pasar itu telah diklasifikasikan sebagai berisiko sederhana manakala satu sebagai berisiko tinggi.
Penduduk di kejiranan itu tidak boleh meninggalkan Beijing.
Sementara penduduk di lokasi berisiko rendah perlu melakukan ujian saringan sebelum meninggalkan ibu kota tersebut.
Susulan kenaikan kes, lebih daripada 1,200 penerbangan dari dan ke bandar itu dibatalkan.
Jumlah perkhidmatan keretapi dikurangkan sehingga 9 Julai ini.
Sekolah rendah dan menengah serta kolej ditutup sementara.
Acara sukan membabitkan pasukan tidak dibenarkan manakala kolam renang dan gim ditutup.
Bagaimanapun, penduduk dibenarkan bekerja. – MalaysiaGazette