Menteri Komunikasi, Saifuddin Abdullah bercakap di sidang media megenai Laporan Pencapaian 100 hari sebagai Menteri Komunikasi di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. Foto Mohd Adzlan, 17 JUN 2020.

PUTRAJAYA – Kejayaan Malaysia dalam menurunkan keluk penularan pandemik Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu tidak mampu dicapai tanpa kerjasama dan peranan semua pihak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berperanan penting untuk mengawal, merawat serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memutuskan rantaian virus itu.

Namun tanpa komunikasi dan penerangan berkesan kepada orang ramai dan masyarakat, usaha kerajaan itu mungkin sukar dijayakan, apatah lagi dalam suasana norma baharu kini.

Ketika negara bergelut membendung Covid-19, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga diuji dengan penyebaran berita palsu yang disebarluaskan di media sosial hingga menimbulkan suasana panik dan ketidaktenterman awam.

Buktinya, beberapa hari sebelum pelaksanaan PKP Fasa Pertama, orang ramai didapati membuat pembelian panik barang keperluan menyebabkan kebanyakan bekalan habis di pasaran.

Ketika itu juga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertindak segera melalui Pasukan Respon Pantasnya dengan menyiarkan pemakluman berita palsu, dengan kekerapan dua kali sehari.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui bahawa pihaknya perlu memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat tepat, tersusun dan pantas, khususnya dalam soal kes positif dan kawasan penularan Covid-19.

“Tempoh 100 hari ini adalah lebih kepada cabaran pengurusan krisis komunikasi sepanjang zaman Covid-19.

“Kesemua mereka yang melawan berita palsu adalah wira tidak didendang. Tugasan kami semasa PKP adalah memastikan hanya dua jurucakap sudah memadai.

“Seorang bercakap soal kesihatan iaitu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan seorang soal bukan kesihatan, melalui Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya ketika membentangkan Kad Laporan 100 Hari KKKM di pejabatnya, hari ini.

Kad Laporan 100 Hari KKMM
Menteri Komunikasi, Saifuddin Abdullah selepas sidang media megenai Laporan Pencapaian 100 hari sebagai Menteri Komunikasi di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Putrajaya. Foto Mohd Adzlan, 17 JUN 2020.

Setakat ini, Pasukan Respon Pantas KKKM telah menjelaskan 319 berita palsu melalui pelbagai saluran komunikasi, dengan menjadikan Bernama dan RTM sebagai media utama negara.

“Kita tubuhkan Pasukan Respon Pantas kerana ada berita palsu yang tidak boleh diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan pihak polis.

“Kalau ambil tindakan mungkin ambil masa, jadi kena dijelaskan segara,” jelasnya.

Selain itu, KKMM turut berperanan menghasilkan dua aplikasi yang kini digunakan secara meluas menjejaki pergerakan orang ramai dan platform penerangan mengenai Covid-19.

“KKMM siapkan rekacipta dua aplikasi, iaitu MySejahtera dan Gerak Malaysia.

“Penggunaan MySejahtera selepas ini ia jadi mandatori, ada pihak tentu yang nak gerak kena guna aplikasi ini,” katanya.

Memandangkan ketika tempoh PKP berkuatkuasa, orang ramai tidak dibenarkan dan perlu berada di rumah, KKMM turut berperanan menggalakkan rakyat membuat pembelian secara e-dagang.

“Perkhidmatan penting semasa PKP ialah Komunikasi dan Internet, e-dagang, teknologi maklumat, logistik dan perkhidmatan penyiaran serta penerangan.

“Musim orang tak berjalan, barang berjalan-jalan, Pos Laju dibenarkan guna kenderaan staf untuk hantar barang

“Kita juga menyediakan SOP bagi perkhidmatan penting seperti sektor Komunikasi, e-dagang, teknologi maklumat (IT), pos dan gig-ekonomi,” katanya.

Apabila sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat-peringkat mulai 4 Mei, KKMM juga dipertanggungjawabkan untuk membuat garis panduan kepada pekedai iaitu tatacara kendalian data peribadi.

“Jabatan Perlindungan Data Peribadi membuat SOP di mana pekedai hanya boleh minta iaitu nama, nombor telefon dan masa sahaja.

“Mereka tidak boleh minta kad pengenalan dan alamat orang ramai yang mengunjungi premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu, KKMM juga merancang Pelan Tindakan 6 Bulan, selari dengan Pelan Tindakan Strategik KKMM 2019-2023.

Antaranya KKMM akan menangani keperluan untuk memperluaskan liputan infrastruktur jalur lebar di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kita nak pastikan capaian Internet dapat ditingkatkan, dalam masa sama syarikat telekomunikasi lestari dan seimbang dengan kepuasan pengguna,” katanya lagi. – MalaysiaGazette