Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memperkasakan MCA dan MIC untuk memastikan parti itu terus menjadi nakhoda kepimpinan negara.

Ini kerana, piagam Muafakat Nasional yang dipelopori oleh UMNO dan Pas tidak pernah ada kata putus berhubung perjuangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Malah pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengubah pendirian Pas yang mahukan Muafakat Nasional (MN) menyertakan semua parti yg membentuk kerajaan itu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, dengan kata lain Pas mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijemput menjadi komponen MN.

Bahkan, beliau meramalkan, jika nanti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menubuhkan parti baharu pun kemungkinan Pas setuju ia menyertai MN.

”Jika situasi ini berlaku, kawasan pilihan raya yang memiliki pengundi Melayu lebih dari 70 peratus sudah pasti akan jadi rebutan antara UMNO, Pas dan Bersatu.

”Manakala kawasan pengundi berbilang kaum akan jadi rebutan antara parti Azmin dan BN.

”Contoh di Selangor, ada lebih kurang 20 DUN yang majoriti 70 peratus pengundi Melayu yang memberi kemenangan kepada UMNO, Pas dan Bersatu.

”PKR memenangi 21 kerusi kawasan campuran manakala DAP menguasai 15 kerusi kawasan pengundi majoriti Cina. Meliputi 36 kerusi dari 56 kerusi DUN Selangor.

”Bagi 20 kerusi DUN majoriti Melayu ini, dengan pergabungan tiga parti politik Melayu, saya tidak merasakan menjadi halangan besar untuk dimenangi.

”Masalahnya sanggupkah ketiga tiga parti ini berkorban untuk berbahagi kerusi yang jumlahnya terlalu kecil dan jika menang semuanya pun tidak boleh tubuh kerajaan negeri. Manakala bagi kerusi Parliman pula hanya ada 6 kerusi sahaja yang perlu dibedak antara mereka,” kata Khir.

Suka atau tidak, tambahnya, BN perlu bekerja keras atau UMNO akan berdepan dengan dua situasi ini.

Ini kerana, walaupun menang semua kerusi Melayu, UMNO akan tetap jadi pembangkang dan hanya mampu menyumbang enam kerusi Parlimen sahaja dan kawasan campuran akan dikuasai oleh parti Azmin dan jika menang semua parti tersebut akan menguasai kerajaan baharu selangor.

Manakala UMNO akan terus jadi penumpang di peringkat negeri dan negara.

Oleh itu, Khir berpendapat UMNO tidak boleh lagi berasa ‘besar kepala’ terhadap MCA dan MIC.

”Jika mereka ( MCA dan MIC) lemah maka tanggung jawab UMNO memperkasakan mereka.

”Jika MCA jadi lemah secara langsung ini akan menguatkan DAP. Jika pemimpin UMNO merasa mereka tidak perlukan pengundi Cina maka tidak salah untuk mereka (MCA) bergabung dengan DAP.

”Sebagai kaum minoriti mereka tidak ada pilihan lain dan telah jadi sesuatu yang normal bila kumpulan minoriti ditekan mereka akan bersatu sesama mereka demi untuk survival atau kelangsungan mereka.

”Bagi kaum India pula, bila MIC dilihat lemah mereka akan bersatu di wadah yang mereka yakini boleh membela nasib mereka dan pemimpin yang mereka yakini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan parti PKR,” ujarnya.

Menurut Khir lagi, formula BN masih diperlukan untuk menawan hati rakyat sebab itu Pakatan Harapan juga menggunakan formula yang sama untuk menang dalam PRU lepas.

Lagipun, ‘payung lama’ masih elok mengapa cari ‘payung baharu’ yang lebih kecil dan tidak boleh menaungi ramai orang.

”Berjiwa besarlah jika ingin jadi pemimpin besar. Tidak mungkin berjiwa kecil boleh jadi pemimpin besar kecuali di alam mimpi sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Komen yang konstruktif untuk panduan MN!

    Selangor sebuah negeri yang sukar, pemikiran orang2 Melayu dinegeri ini telah lama dipengaruhi oleh DAP!

    Sambil merangka strategi teruskan engagement dengan orang2 kampung, felda dan taman2!

Comments are closed.