Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Sejak sehari dua ini sudah kedengaran suara-suara dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju seandainya jawatan Perdana Menteri (PM) diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya seperti yang dijanjikan sebelum PRU-14, nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menjadi bualan dan juga ‘pilihan’ segelintir untuk menggantikan Mahathir yang sepatutnya menjawat jawatan tersebut.

Namun sejak tumbangnya PH awal tahun ini, sekali lagi isu pergeseran siapakah yang harus dilantik menjadi PM seandainya menang kembali kerajaan menjadi pertikaman lidah serta tanda tanya.

Menurut  Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Thiban Subbramaniam, Anwar bukan sahaja Pengerusi PH sebaliknya beliau sentiasa memastikan PKR tidak sesekali keluar PH.

“Pada PRU-14, ketika rakyat memilih PH untuk memegang tampuk kuasa, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pernah ditawar jawatan PM memandangkan PKR memiliki majoriti paling besar.

“Beliau tolak dan beri laluan kepada Mahathir. Hari ini, saya beri contoh realiti, PH sedang berhempas pulas mengembalikan mandat rakyat, PKR tidak pernah keluar PH mahupun Anwar sendiri.

“PH telah berikan jawatan Perdana Menteri ‘sementara’ kepada Tun Mahathir sehinggalah Anwar dibebas dan bersedia untuk ambil alih tetapi sehingga kini kita masih belum boleh tunaikan janji tersebut kepada rakyat.

“Jika kita benar-benar ikhlas, jika ada kebenaran kita hendak kembalikan mandat rakyat, seeloknya Anwar Ibrahimlah calon PM yang sebenarnya. PH sepatutnya lebih tegas dalam pendirian ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Thiban Subbramaniam.

Tambah Thiban lagi, jangan sesekali mengkhianati mandat rakyat kerana hakikatnya pengundi sedang terus memerhati semua tindak tanduk dilakukan oleh pimpinan ketika ini.

“Tolonglah jangan biarkan kita terus dipecah belahkan lagi, jangan biarkan yang di sebelah sana gunakan peluang-peluang ini terus menjatuhkan kita di hadapan mata rakyat, tolonglah saya merayu,” ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke membuat kejutan apabila sekali lagi ‘bersetuju’ untuk Mahathir kembali sebagai PM jika berjaya membentuk kerajaan. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

AMK tolak cadangan lantik Tun M jadi PM lagi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.