AFC U-19 Championship Uzbekistan 2020

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak Bawah 19 Tahun (B-19) negara diundi bersama bekas juara Qatar, dalam Kumpulan D bagi saingan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pada majlis undian yang dilakukan secara maya di Ibu Pejabat AFC di sini, selain Qatar yang merupakan juara edisi 2014, skuad negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney akan berentap dengan Tajikistan dan Yemen yang diundi dalam kumpulan sama.

Malaysia, Qatar dan Tajikistan masing-masing muncul juara kumpulan pada pusingan kelayakan kejuaraan tersebut yang berlangsung tahun lepas, sementara Yemen sekadar muncul antara lima pasukan menduduki tempat kedua terbaik, pusingan kelayakan itu.

Pengurus pasukan skuad B-19 negara Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, barisan kejurulatihannya akan menyiapkan pasukan ke tahap terbaik, untuk merealisasikan impian beraksi pada Piala Dunia B-20 2021, di Indonesia.

“Bukan satu undian yang boleh dipandang remeh, tetapi kami sedia untuk menghadapi kejuaraan ini. Persiapan akan dilakukan semaksimum mungkin, sehingga kita terbang ke Tashkent. Sasaran adalah layak ke Piala Dunia B-20 2021,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Untuk menghadapi Tajikistan dan Qatar, ia bukan satu perkara mustahil, kerana barisan pemain ini pernah menang besar ke atas Tajikistan beberapa tahun lepas, dan kita juga pernah menang dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE),” tambah beliau.

Sebahagian besar pemain skuad B-19 negara, antaranya penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin merupakan pemain daripada skuad B-16 negara, yang melakar kemenangan besar 6-2 ke atas Tajikistan, pada Kejuaraan B-16 AFC 2018 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, majlis undian hari ini menyaksikan penyandang juara Arab Saudi, diundi dalam Kumpulan C bersama Australia, Vietnam dan Laos, sementara Kumpulan A membariskan Uzbekistan, Indonesia, Kemboja dan juara sebanyak empat kali, Iran.

Dalam pada itu, Kumpulan B dijangka berlaku saingan sengit untuk merebut dua slot ke pusingan kalah mati, apabila juara 12 kali, Korea Selatan bakal berdepan Iraq (juara 5 kali), Jepun (juara 2016) dan Bahrain.

Kejuaraan B-19 AFC 2020, menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 dan Malaysia menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak beraksi di pentas Piala Dunia secara merit.

Berikut merupakan keputusan penuh undian hari ini;

Kumpulan A: Uzbekistan, Indonesia, Kemboja, Iran

Kumpulan B: Korea Selatan, Jepun, Iraq, Bahrain

Kumpulan C: Arab Saudi, Australia, Vietnam, Laos

Kumpulan D: Qatar, Tajikistan, Malaysia, Yemen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast