Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2020

PUTRAJAYA – Pembukaan sempadan antarabangsa secara bersyarat dengan negara dari zon hijau masih dalam peringkat perbincangan awal sebelum ia boleh dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, menerusi perbincangan awal, enam negara dikenal pasti untuk tujuan berkenaan, iaitu Singapura, Australia, Brunei, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun menurutnya, ia perlu melalui persetujuan bersama antara Malaysia dan negara berkenaan untuk dilaksanakan prosedur operasi standard (SOP) secara dua hala yang kini masih lagi sedang dimuktamadkan.

“Kawalan sempadan masih diperketatkan hingga kini, walaupun kita memberi sedikit kebenaran terhadap beberapa perkara, mereka kena ikut SOP termasuk kuarantin dan saringan.

“Langkah seterusnya apabila kita ingin membuka pintu sempadan adalah bagaimana caranya kita apa yang perlu dilakukan adakah perlu dikuarantin atau sebagainya,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu Noor Hisham memaklumkan, sekolah dan madrasah tahfiz tetap dibenarkan dibuka semula pada 24 Jun ini, namun akan terus dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, KKM sudah mengenal pasti lokaliti dan kumpulan sasar terdiri daripada pelajar, kakitangan dan guru.

Beliau berkata, mereka boleh membuka semula sekolah tahfiz, tetapi tugas KKM akan menjalankan saringan dari semasa ke semasa.

“Melalui pemantauan dan pengawasan, KKM dapat mengesan sekiranya ada kes Covid-19 dan ia akan berterusan walaupun sudah keluar daripada PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

“Jika sudah keluar daripada PKPP pun tindakan survelan tetap akan dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette