Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun meluangkan masa melihat kakitangan SPR melakukan persiapan terakhir semasa mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2020.

CHINI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan semula beberapa aktiviti untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sebelum ini dilarang kerana Covid-19 pada 16 Jun lalu.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tiga aktiviti antaranya ceramah politik, walkabout dan ziarah rumah ke rumah telah dibenarkan semula.

“Dengan ambil kira Perintah Kawalan Pergerakan Pemilihan (PKPP), maka Prosedur Operasi Standard (SOP) dipinda maka SPR benarkan tiga aktiviti ceramah dan mesti di tempat tertutup. Jumlah maksima 250 orang tapi tertakluk kepada saiz kawasan.

“Aktiviti walkabout pun dibenarkan tapi hanya tiga orang sahaja termasuk calon. Mereka tidak dibenarkan bersalaman.

“Selanjutnya, aktiviti ziarah rumah ke rumah mesti tak lebih tiga orang. Malah penjarakan sosial perlu diamalkan dan mereka juga tidak dibenarkan untuk bersalaman cukup sekadar memperkenalkan diri,” katanya.

Azhar Azizan berkata demikian kepada media setelah membuat lawatan di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara, Pekan hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya, Prof Dr Azmi Sharom.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2020.

Ditanya mengenai proses penamaan calon esok, Azhar Azizan berkata, hanya tiga orang termasuk calon dibenarkan untuk memasuki pusat penamaan.

Ia termasuk pencadang dan penyokong kepada calon masing-masing.

“Dewan ini hanya boleh tempatkan 30 orang saja mengikut SOP KKM.

“Himpunan orang ramai tidak akan dibenarkan berhimpun seperti dulu. Jika ada himpun polis akan suraikan. Harap tak ada calon atau politik bawa penyokong ramai seperti biasa,” katanya lagi.

SPR sebelum ini memaklumkan SOP khas akan diguna pakai sepanjang PRK DUN Chini memandangkan situasi Covid-19 dan PKPP yang berkuat kuasa sejak 10 Jun lalu.

Antara SOP khas yang ditetapkan ialah aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi tidak dibenarkan dan kempen digalakkan mengguna pakai medium atas talian atau melalui saluran media sosial.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung, dan SPR menetapkan 20 Jun ini sebagai hari penamaan calon, dan 4 Julai sebagai hari mengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast