Gelagat penyokong calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyatakan sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini,  4 Julai nanti.

Bahkan menurut Presiden parti itu Datuk Dr Dominic Lau, beliau telah mengarahkan pemimpin dan wakil Gerakan di peringkat Pahang untuk memberikan sokongan kepada calon BN  iaitu Mohd Sharim Md Zain ketika proses penamaan calon berlangsung pagi tadi.

“Chini itu memang akan bertanding calon Barisan Nasional oleh itu kita berikan sokongan kepada BN di PRK Chini.

“Memang hari ini kita telah mengarahkan wakil-wakil Gerakan daripada Pahang beri satu sokongan kepada BN semasa penamaan calon,” katanya ketika sidang media.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru apabila 2 calon Bebas bertanding melawan calon daripada BN.

Calon Bebas itu adalah Tengku Datuk Hisham dan Mohd Shukri Mohd Ramli manakala BN mempertaruhkan  Mohd Sharim.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.