KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), hari ini berkata sejumlah 51,746 daripada 94,638 permohonan Rumah Mesra Rakyat (RMR) telah diluluskan sehingga 31 Mei lalu.

Menurut pengerusinya Datuk Hasbullah Osman, daripada jumlah tersebut, 46,576 unit telah disiapkan sementara 2,516 unit dalam proses pembinaan.

Malah sejumlah 2,654 permohonan RMR sedang dalam peringkat dokumen perjanjian.

“Berdasarkan statistik semasa, Pahang adalah yang kelima tertinggi di seluruh negara dengan pemohonan sebanyak 9,899.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,579 permohonan telah diluluskan di mana 4,009 unit RMR telah berjaya disiapkan, 321 unit dalam proses pembinaan dan 249 permohonan lagi sedang dalam peringkat dokumen perjanjian.

“Ketika ini terdapat 725 permohonan masih dalam senarai menunggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 35,923 permohonan telah ditolak dan sejumlah 6,969 permohonan kini masih dalam senarai menunggu.

SPNB sebelum itu mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta RMR yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Merangkap Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.

Dalam pada itu Hasbullah berkata, sebanyak 809 permohonan diterima di Parlimen Maran sahaja.

Tambah beliau, daripada jumlah itu sebanyak 350 permohonan telah diluluskan, 291 unit RMR telah berjaya disiapkan, 10 unit dalam proses pembinaan dan 49 permohonan dalam peringkat dokumen perjanjian.

“Terdapat 38 permohonan masih dalam senarai menunggu.

“Pada tahun ini, sebanyak RM243 Juta telah diperuntukan bagi membina 2,983 unit RMR di seluruh negara dengan mengutamakan senarai menunggu sedia ada.

“Program RMR ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di seluruh negara. Dengan sambutan yang diterima menyebabkan jumlah permohonan melebihi peruntukan tahunan yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Hasbullah turut berharap, lebih banyak peruntukan dapat disalurkan dalam pengumuman Bajet 2021 kelak.

Pada majlis itu juga, seramai 12 kontraktor dianugerahkan sijil penghargaan kerana berjaya menyiapkan RMR manakala 19 pemilik RMR menerima sumbangan korporat SPNB dan 19 pemohon lagi menerima surat makluman kelulusan RMR 2020. – MalaysiaGazette