Mahdzir Khalid

KUALA NERANG – Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi jaminan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan yang diumum kerajaan semalam, tidak akan memberi kesan terhadap operasi dan perkhidmatannya menyediakan bekalan elektrik kepada pengguna.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun bantuan itu merangkumi pemberian elektrik percuma selama tiga bulan kepada empat juta pengguna, semua perkara terutama melibatkan penyelenggaraan infrastruktur TNB berjalan seperti biasa.

“Ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan TNB, jadi tidak akan menyebabkan permasalahan kepada TNB, maknanya demi kemudahan untuk rakyat, segala perkara (berkaitan bekalan elektrik), untuk sambung, baiki, selenggara semua berjalan seperti biasa,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika diminta mengulas mengenai pengumuman bantuan itu oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, semalam.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata TNB akan mempergiatkan sesi penerangan kepada pengguna berhubung bantuan itu selain memberi pemahaman mengenai kaedah bacaan meter yang dilakukan ketika ini.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat itu menerusi kedai-kedai TNB atau menghubungi terus talian careline TNB selain kita membuat hebahan melalui media, maknanya TNB mengambil tanggungjawab sepenuhnya memberi penerangan kepada pelanggan kalau mereka tidak memahami pasal pengiraan,” katanya.

Dalam pengumuman semalam, Shamsul Anuar berkata seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah bantuan itu.

Pengguna yang terlibat akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil bulan Julai.

Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan bagi April, Mei dan Jun.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast