Lebih 50,000 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Brazil. foto SCMP

RIO DE JANEIRO – Brazil yang menjadi negara kedua tertinggi kes koronavirus di dunia selepas Amerika Syarikat dengan lebih 1 juta kes dan melepasi 50,000 kes kematian pada hari Ahad.

Peningkatan kes koronavirus itu menambah lagi ketidakstabilan politik dan melumpuhkan ekonomi negara ini.

Brazil kini merekodkan sejumlah 1, 085, 038 kes Covid-19 yang disahkan dengan 50.617 kematian, meningkat daripada 49,976 pada hari Sabtu, kata Kementerian Kesihatan.

Namun, pakar-pakar percaya bilangan sebenarnya jauh lebih tinggi kerana kekurangan ujian saringan yang dilakukan.

Negara terbesar di Amerika Latin iniĀ  biasanya mencatatkan lebih dari 1,000 kematian sehari, tetapi lebih sedikit pada hujung minggu.

Brazil mengesahkan kes pertama novel koronavirus pada 26 Februari dan melepasi 1 juta kes pada hari Jumaat lalu.

Sejak pertama kali muncul di negara ini, penyebaran virus yang cepat itu telah mengikis sokongan kepada Presiden Jair Bolsonaro dan telah menimbulkan kebimbangan keruntuhan ekonomi.

Bolsonaro, yang turut digelar sebagai “Tropical Trump,” telah banyak dikritik kerana gagal menangani krisis tersebut.

Negara ini masih tidak memiliki menteri kesihatan tetap setelah dua menteri yang dilantik meletak jawatan sejak April lalu kerana tidak sefahaman dengan presiden.

Bolsonaro tidak melaksanakan penjarakan sosial dalam usaha mencegah penularan koronavirus kerana menyifatkan langkah itu sebagai tindakan ‘membunuh’ pekerjaan. – MalaysiaGazette