Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menghentikan penggunaan ubat antimalaria, hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu diambil setelah mendapati data pemberian ubat berkenaan kepada pesakit Covid-19 gagal memberi kesan yang diharapkan pasukan perubatan di hospital.

“Untuk rawatan pesakit Covid-19 kita gunakan secara off label (bukan untuk kegunaan pesakit Covid-19) iaitu tidak ada lagi data yang mengatakan ubat ini boleh dipakai serta tiada indikasi untuk kegunaan penyakit atau pesakit Covid-19.

“Lagipun ia adalah bukan ubat baharu yang mana kita pakai ubat itu selama lebih 40 tahun untuk penyakit malaria dan sebagainya. Tapi kita gunakan pada satu anti radang, anti inflamasi kerana pada mulanya kami rasa ia boleh ada kesan anti radang.

“Tapi apabila data dan sebanyak 500 kes dikumpul dan diteliti, hasilnya mendapati ia tidak menunjukkan kesan positif atau statistik tak mempamerkan keberkesanan ubat itu, maka kita sudah berhentikan penggunaan ubat itu untuk kita,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Malah katanya, KKM dimaklumkan bahawa terdapat 30 peratus komplikasi pada seseorang pesakit apabila mengambil ubat itu.

Noor Hisham berkata, jumlah kes jangkitan pesakit Covid-19 berkurangan juga menyebabkan kajian santifik sukar dilaksanakan.

“Walaupun kita dikenalpasti sebagai pusat untuk menjalankan kajian secara bersama dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia), tapi jumlah kes pesakit tak cukup dan semakin berkurangan sekarang ini.

“Setakat ini, kes sembuh atau pulih adalah lebih 95 peratus dan kes kematian kurang 1.4 peratus dan ini satu angka yang baik untuk negara kita, sekaligus membuktikan kita berjaya merawat pesakit.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Malaysia masih belum mencapai persetujuan dengan lima negara yang dikenalpasti sebagai zon hijau untuk membuka semula sempadan bagi tujuan kemasukan tenaga pakar dan ekspatriat.

Negara-negara itu ialah Singapura, Brunei, New Zealand, Korea Selatan dan Vietnam.

Katanya, penentuan zon hijau itu ditetapkan oleh KKM dan perbincangan tidak sekadar terikat dengan negara terbabit sahaja.

“Setakat ini kita masih dalam fasa perbincangan dengan pelbagai agensi dan negara berkenaan, tetapi masih peringkat awal dan belum ada persetujuan dua negara iaitu kena pastikan mutual (persetujuan bersama) dan fokal.

“Ini adalah kerana kita kena lihat pelaksanan dan Prosedur Operasi Standard yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan diperingkat ini hanya perbincangan terlaksana,” jelas beliau sa,bil menambah perbincangan turut melibatkan Kementerian Luar.

Ditanya bagaimanapun zon hijau sesebuah negara ditentukan, Noor Hisham berkata, ia berdasarkan kes jangkitan dan trend penularan Covid-19.

“Kita juga akan lihat polisi atau dasar kita yang ada bersama dengan dasar yang digunakan negara kedua yang terlibat dalam perbincangan zon hijau. Kalau dasar kedua-dua negara kita sehaluan, jadi kita boleh mendapatkan kata sepakat dan persetujuan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mohon wartawan tanya Dato KP nanti samada KKM meminta kebenaran dahulu dr pesakit sblm diberi ubat off label dan diterangkan tak dahulu jangkaan keberkesanan dan kesan sampingan jika ambil? Sbb ini berkaitan dengan nyawa. Dah la tak ada menyembuh malah 30% ada kesan sampingan. Jika ada prosedur rawatan secara ujicuba selepas dapat kebenaran, bagus lah diamalkan.

Comments are closed.