Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain menaiki motosikal untuk berkempen semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kedai Mokthar Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

CHINI –  Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain menyambut baik pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata, persaingan itu mempamerkan demokrasi yang diberikan kepada mana-mana individu yang ingin merebut kerusi ini pada 4 Julai depan.

“Saya menyambut baik calon-calon yang bertanding untuk kerusi N23 PRK Chini. Pastinya masing-masing mempunyai cara untuk berkempen kepada pengundi DUN Chini,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di sekitar Felda Chini 1, pagi ini.

Mohd Sharim dicabar dua calon Bebas, iaitu bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan aktivis Mohd Shukri Mohd Ramli.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (dua kiri) memilih makanan untuk sarapan pagi semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kedai Mokthar Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

Dalam pada itu, beliau berkata, setiap calon yang bertanding pada PRK kali ini mempunyai agenda dan fokus masing-masing dalam usaha memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

Kata peneroka generasi kedua Felda itu, fokus utama beliau adalah mendekati masyarakat dan mendepani masalah-masalah yang dihadapi oleh komuniti setempat.

“Saya akan meneruskan perjuangan dan legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar dan pastinya pengalaman saya bersama beliau akan dijadikan pedoman.

“Saya akan cuba menambahkan baik dan terus memperjuangkan nasib masyarakat warga Felda, kampung tradisi dan Orang Asli,” katanya lagi.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya,Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lepas, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – MalaysiaGazette