Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (dua kanan) membantu menolak kerusi roda Pengarah Majlis Tindakan DUN Pas Chini, Sarjuni Konting, 62, pada perjumpaan bersama Kepimpinan Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 5, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

CHINI – Kepimpinan utama Pas Chini hari ini melafazkan ikrar akan menyokong calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Pas Chini, Sarjuni Konting, 62 berkata, pihaknya akan memberikan undi kepada Mohd Sharim atas dasar kerjasama Muafakat Nasional.

“Kita akan beri sokongan padu kepada calon ini.

“Saya tidak ada masalah dengan calon ini, secara peribadi saya sokong dia. Saya rasa dia boleh memimpin Chini yang penting jangan tinggalkan orang yang lebih pengalaman,” katanya kepada media di rumahnya di Felda Chini 5, semalam.

Sarjuni berkata demikian selepas menerima kunjungan Mohd Sharim dalam siri kunjungan Muafakat Nasional.

Beliau yang mengenali Mohd Sharim semasa menjadi Ahli Jawatankuasa Wilayah Kuantan sempat menasihatkan calon BN itu agar memfokuskan kepada ekonomi generasi kedua Felda.

“Saya harap Mohd Sharim boleh menjaga syariat Islam dan kebajikan masyarakat perlu diutamakan.

“Kedua tentang ekonomi di peringkat anak-anak peneroka. Ramai mereka yang tidak ada pekerjaan dan pasti ia diselesaikan,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bercakap pada perjumpaan bersama Kepimpinan Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 5, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

Ditanya mengenai sokongan Pas terhadap beliau, Mohd Sharim bersyukur dan menerima pandangan itu biarpun harapan terhadap dirinya untuk mempertahankan kerusi DUN Chini amat tinggi.

“Apa yang telah disarankan kepada saya selaku orang muda terima dengan hati yang terbuka berkaitan pertahankan agama. Sudah pasti agama itu didahulukan,” katanya.

Sebelum ini, Pas akan menggerakkan jentera pilihan raya bagi menyokong calon BN.

Ia disahkan Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar yang mana mengesahkan parti itu tidak akan meletakkan calon pada PRK Chini yang dijadual 4 Julai ini. – MalaysiaGazette