Polis mengawal perkarangan luar sebuah bangunan kediaman penduduk di bandar Goettingen, Jerman. foto Agensi

BERLIN – Polis menambah kekuatan bagi memastikan perintah kuarantin di sebuah menara bangunan di bandar Goettingen berjalan lancar selepas berlaku rusuhan di situ.

Sebanyak 700 orang penduduk yang menetap di bangunan terpaksa dikuarantinkan tetapi 200 orang penduduk berdegil dan mencetuskan pergaduhan dengan polis.

Penduduk berkenaan menyerang polis dengan bunga api, botol dan batang logam, kata polis.

Kesemua penduduk di menara itu dikuarantin sejak hari Khamis lalu setelah dua penduduk positif Covid-19 dan angka jangkitan bertambah kepada 120 orang penduduk pada hari Jumaat.

Mana-mana penduduk yang diuji negatif diminta untuk menjalani ujian saringan selanjutnya. Sekiranya kekal negatif, mereka akan dibenarkan keluar dari blok tersebut, tetapi dengan syarat memakai pelitup muka.

Beberapa pegawai polis cedera ketika penduduk cuba menerobos kawat keselamatan.

Pergaduhan itu tercetus akibat masalah komunikasi kerana kebanyakan penduduk tidak memahami keperluan ujian saringan kedua.

Pada masa ini penterjemah telah ditugaskan untuk menyalurkan maklumat dalam bahasa Jerman dan Romania.

Dalam pada itu, kes jangkitan Covid-19 di kilang daging terus meningkat.

Jumlah kes positif melibatkan kilang memproses Tonnies di barat laut telah meningkat kepada 1,331.

Pihak berkuasa di kawasan Gutersloh memberitahu 6,500 pekerja dan keluarga mereka akan dikuarantin pada minggu ini.

Perdana Menteri wilayah North-Rhine-Westphalia, Armin Laschet, mengingatkan tentang “risiko pandemik yang sangat besar” sambil mengakui bahawa wabak itu hanya terhad pada perusahaan Tonnies dan masih dapat ditangani melalui sekatan pergerakan.

Kilang ini banyak menggunakan pekerja asing.

Secara umumnya, Jerman telah melakukan langkah baik dalam mengekang virus ini daripada tersebar luas dengan meningkatkan ujian saringan.

Jerman menyaksikan seramai 189,822 orang positif Covid-19 dengan 8,882 kes kematian – dikira rendah berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast