KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin boleh mempertimbangkan jawatan lain, yang bersifat kerakyatan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Ini kerana, jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah MISC Bhd (MISC) tidak sesuai dengan jiwa beliau yang sentiasa mendampingi rakyat, sama ada di kawasannya di Tanjung karang mahupun di Selangor khususnya.
Menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) negeri, Isham Jalil, MISC adalah syarikat perkapalan antarabangsa yang menumpukan kepada perniagaan, sekali gus akan menjarakkan Pengerusi BN Selangor itu dengan rakyat.
“Jawatan ini sesuai kepada ahli korporat, bukan orang politik seperti Noh, dan memang wajar beliau meletakkan jawatan itu kerana tidak bersesuaian dengan jiwanya yang selalu menghabiskan masa bersama rakyat.
“Sebagai ahli politik, Noh memegang tanggungjawab memberikan tumpuan khidmat kepada rakyat tempatan terutama rakyat Selangor dan untuk menyemak imbang kerajaan negeri.
“Oleh itu, MISC bukanlah tempat sesuai untuk beliau,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Pada 18 Jun lalu, Noh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah MISC, iaitu syarikat 51 peratus milikan Petronas.
Beliau yang dilantikan Muhyiddin pada 1 Jun lalu, mengucapkan selamat maju jaya kepada Lembaga Pengarah MISC dan pihak pengurusan untuk membawa syarikat ke peringkat lebih tinggi.
Menurut Isham, tanggungjawab memimpin pembangkang di Selangor amat berat dan terletak sepenuhnya di bahu Noh, lebih lagi apabila Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Selangor tidak lagi diletak di bawah Pengerusi BN Selangor seperti dahulu.
“Untuk membantu menguatkan Perikatan Nasional (PN) di Selangor, saya mencadangkan Perdana Menteri menawarkan platform lebih baik kepada Noh supaya beliau dan BN negeri dapat berkhidmat dengan lebih efektif kepada rakyat.
“Noh mempunyai pengalaman luas dalam bidang pembangunan usahawan tempatan, pertanian dan undang-undang, oleh itu agensi berkaitan dengan hal ehwal ini mungkin lebih elok dipertimbangkan untuk beliau bagi membantu rakyat berbanding MISC,” katanya. – MalaysiaGazette
Noh Omar jiwanya dekat dengan rakyat!
Eloklah diberi jawatan yang lebih mendekatkan beliau dengan orang2 Selangor!
TSMY, takkan main bantai tangkap muat saja kot.