Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

MELAKA – Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan berhubung kes menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi dalam loji kumbahan sebuah rumah di Kampung Kandang di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kedua-dua suspek iaitu wanita berusia 23 tahun dan teman lelakinya 25 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada Pengurus Pengawal Keselamatan kilang suspek wanita itu bekerja di Batu Berendam pada pukul 11.12 pagi tadi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan, polis diberitahu suspek wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran itu telah banyak kali tidak hadir bekerja sepanjang bulan ini kerana cuti sakit, dan telah melahirkan anak di rumah sewanya di Bukit Baru di sini.

“Siasatan awal mendapati suspek wanita itu makan sejenis ubat gugurkan kandungan yang dibelinya di laman sosial Facebook serta berurusan (dengan penjual) menerusi aplikasi Whatsapp dan pihak polis telah merampas telefon bimbitnya untuk siasatan lanjut.

“Suspek lelaki pula mengaku telah menerima mayat bayi berbalut plastik daripada teman wanitanya itu dan dipercayai telah membuang mayat bayi berkenaan dalam loji kumbahan rumah (lelaki itu) di Kampung Kandang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, hasil soal siasat, wanita itu juga mengaku anak dikandungnya itu adalah anak suspek lelaki yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Ayer Keroh.

Katanya, siasatan lanjut mendapati bayi itu dipercayai lelaki yang berada lima hingga tujuh bulan dalam kandungan, dan suspek wanita itu masih dalam pemeriksaan oleh pakar perubatan di Bahagian Kecemasan, Hospital Melaka untuk pengesahan kelahiran bayi serta pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan reman ke atas kedua-dua suspek akan dipohon pihak polis esok.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Melaka dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis bagi bantuan mengambil mayat bayi itu dari loji kumbahan rumah berkenaan pada kira-kira pukul 3.44 petang tadi.

Katanya, anggota bomba telah mengepam air di dalam lubang tandas di rumah itu sebelum menemukan mayat bayi berkenaan, yang kemudiannya diserahkan kepada pihak polis, dan operasi tamat pada pukul 5.34 petang. – Bernama