Donald Trump
Donald Trump

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menggantung kemasukan pekerja asing ke Amerika Syarikat (AS) mulai 22 Jun, bagi membantu ekonomi yang merudum disebabkan wabak koronavirus.

Bagaimanapun, langkah Trump itu dikritik oleh kumpulan perniagaan.

Pengisytiharan presiden itu sekali gus menyekat pekerja asing yang memegang visa H-1B, sebagai pekerja mahir dan visa L, untuk pengurus dan pekerja khusus yang dipindahkan dalam sebuah syarikat.

Trump juga menyekat mereka yang menggunakan visa pekerja bermusim H-2B, yang digunakan oleh industri landskap dan industri lain.

Penggantungan itu berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini, menawarkan sebanyak 525,000 pekerja AS.

Malah, langkah itu juga menawarkan peluang pekerjaan segera kepada warga AS.

Tetapi perniagaan termasuk syarikat teknologi utama dan Dewan Perniagaan AS berkata, penggantungan visa akan menyekat pemulihan ekonomi.

Malah, para pengkritik mendakwa Trump menggunakan alasan wabak itu untuk melaksanakan impiannya mengehadkan imigresen ke Amerika Syarikat.

Kesan segera daripada pengisytiharan itu mungkin akan terhad kerana konsulat AS di seluruh dunia masih ditutup bagi pemprosesan visa.

Pengisytiharan itu mengecualikan mereka yang sudah berada di Amerika Syarikat, serta pemegang visa yang sah di luar negara, tetapi mereka mesti mempunyai dokumen perjalanan rasmi yang membenarkan masuk ke Amerika Syarikat.
Langkah itu juga mengecualikan pekerja rantaian bekalan makanan dan individu yang dalam kategori berkepentingan nasional.

Penangguhan itu akan merangkumi visa J yang dibenarkan bekerja untuk peluang pertukaran budaya, termasuk kaunselor kem dan pasangan suami isteri serta visa untuk pasangan pekerja H-1B. – MalaysiaGazette