Gambar hiasan

SHAH ALAM – Hari pertama sesi persekolahan yang bermula hari ini selepas ditutup selama tiga bulan kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetus pelbagai gelagat dalam kalangan pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di sini.

Walaupun suasana di dalam kelas kelihatan suram dengan riak wajah pelajar yang bosan kerana lama bercuti, luahan hati mereka dikongsi sepanjang pengalaman ‘berkurung’ di rumah.

Bagi Muhammad Fikri Mohd. Fauzi, dia sangat teruja dapat kembali ke sekolah bertemu rakan-rakannya.

Pelajar, Muhammad Fikri Mohd Fauzi bercakap kepada media setelah dibenarkan bersekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Program 1st Day School PKPP di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 24 JUN 2020.

Malah perasaan seronok mula timbul sejak minggu lalu dengan membuat persiapan mencari semula baju dan buku-buku sekolah.

“Seronok sangat dapat sekolah semula kerana lama terperap di rumah.

“Malah sepanjang PKP, saya banyak menonton drama Korea dan tidur sahaja,” katanya bersahaja sambil mengakui akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan melalui buku garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Rakannya, Suraya Aishah Badrul Hisham pula berkongsi pengalaman belajar atas talian yang dianggap agak sukar untuk difahami.

Pelajar, Suraya Aishah Badrul Hisham bercakap kepada media setelah dibenarkan bersekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Program 1st Day School PKPP di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 24 JUN 2020.

Dia memberitahu lebih sukar belajar di atas talian kerana dapat bertanya terus kepada guru jika tidak faham ketika itu di dalam kelas.

“Belajar online juga kadang-kadang berdepan masalah internet yang perlahan dan sangkut-sangkut. Jadi lama hendak tunggu dan membuang masa,” katanya.

Pendapat itu dipersetujui oleh seorang lagi pelajar, Mohd. Haris Mohd. Sharif yang menganggap belajar secara atas talian bukan satu yang realiti.

Pelajar, Muhammad Haris Mohd Sharif bercakap kepada media setelah dibenarkan bersekolah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Program 1st Day School PKPP di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 24 JUN 2020.

Katanya, ini kerana dia berdepan masalah untuk bertanya tentang perkara yang tidak difahami ketika proses pembelajaran itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib telah melawat sekolah tersebut untuk memantau pematuhan SOP ditetapkan pada hari pertama persekolahan selepas PKP itu.

Pada 7 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diganti dengan Perintah kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini dengan banyak kelonggaran diberikan termasuk sekolah dibuka semula.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi menggantikan PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini. – MalaysiaGazette