Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes positif Covid-19 di tiga kluster.

Pertambahan itu berlaku di Kluster Bukit Bintang, Kluster Tapak Pembinaan Kuching dan Klsuter Kondominium Hulu Langat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, sehingga pukul jam 12 tengahari hari ini, sebanyak 10 kes positif Covid-19 dilaporkan dikesan di Kluster Bukit Bintang melibatkan sembilan kes warganegara Bangladesh dan satu kes warganegara Malaysia.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-8,498) merupakan seorang lelaki bukan warganegara yang telah menjalani saringan Covid-19 untuk masuk kerja dan didapati positif pada 15 Jun lalu.

“Siasatan dan saringan Covid-19 ke atas semua kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini seramai 274 orang telah disaring di mana 203 adalah bukan warganegara dan 71 adalah warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Bagi kluster Tapak Pembinaan Kuching pula, Noor Hisham menjelaskan, ia mula dikesan apabila individu ketiga yang dijangkiti virus berkenaan membuat saringan Covid-19 di sebuah klinik swasta dan disahkan positif pada 16 Jun lalu.

“Setakat ini seramai 426 kontak sudah dikenal pasti di mana 62 individu didapati negatif Covid-19 dan 34 individu lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, bagi kluster Kondominium di Hulu Langat pula, indeks kes bagi kluster yang terbabit adalah seorang pelajar pusat tahfiz yang dikesan positif ketika saringan Covid-19 pada 8 Jun lalu.

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif dijalankan dan dua lagi kes positif dikesan di dalam kluster ini. Kes pertama ialah bukan warganegara dan beliau ialah bapa saudara angkat kepada kes indeks.

“Beliau tinggal di kediaman yang lain, namun terdapat aktiviti kunjung mengunjung di antara mereka,” katanya. – MalasiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast