PM Muhyiddin Yassin berbicara sesuatu kepada pelajar tingkatan lima SMK Datok Lokman Jalan Kampung Pandan semasa lawatan hari pertama sesi sekolah tingkatan lima pagi tadi.Kredit Gambar: Ta Sri Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menasihati pengurusan sekolah serta para pelajar tingkatan Lima Sekolah Menengah Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan di sini supaya sentiasa berdisiplin.

Ia termasuk menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga jarak sosial serta elak berada di tempat yang sesak sepanjang sesi persekolahan pelajar peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berdoa agar mereka yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan.

Beliau juga memuji segala persiapan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) MKN dan Kesihatan Awam yang dilaksanakan kesungguhan para guru dan kakitangan sekolah itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan mengejut pagi tadi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, bagi meninjau pembukaan semula sesi persekolahan SPM di sekolah mulai hari ini.

Muhyiddin berkata, sebelum ini, semua sekolah ditutup apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas sebelum 10 Jun lalu kerajaan membuat keputusan membuka semula sekolah secara berperingkat bermula hari ini dengan pembelajaran dan pengajaran kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Sejurus tiba, saya melalui proses saringan suhu badan di pintu masuk sekolah sebelum diiring oleh Guru Besar, Puan Latifah Mohd Yusof melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah seterusnya ke dewan utama bagi sesi taklimat.

“Pada taklimat itu, saya dimaklumkan sesi pembelajaran di sekolah ini hanya melibatkan pelajar tingkatan lima seramai 255 orang yang dibahagikan 14 kelas daripada sembilan kelas sebelum PKP dikuatkuasakan.

Tinjauan PM Muhyiddin hari pertama sesi perekolahan tingkatan lima di SMK Datok Lokman, Jalan Kmapung Pandan, Kuala Lumpur pada Rabu 24 Jun 2020.Kredit Gambar: Tan Sri Muhyiddin

“Saya kemudiannya meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Daripada pemerhatian saya, semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang dipatuhi.,” katanya dalam status Facebook rasmi beliau hari ini.

Ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, setelah tiga bulan tidak bersekolah perasaan bercampur-baur dirasai pelajar apabila dapat kembali semula ke sekolah dan perkara itu diluahkan kepadanya semasa berbual dengan sebahagian daripada mereka tadi.

“Saya berpeluang bercakap dengan pelajar dan ada antara mereka mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan ancaman pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

“Tetapi mereka masih teruja dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian.

Tinjauan PM Muhyiddin hari pertama sesi perekolahan tingkatan lima di SMK Datok Lokman, Jalan Kmapung Pandan, Kuala Lumpur pada Rabu 24 Jun 2020.Kredit gambar: Kredit gambar: Tan Sri Muhyiddin

“Saya amat berterima kasih kepada para guru, pejabat pendidikan negeri dan daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dapat dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.

“Langkah ini akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan sepanjang mereka berada di sekolah,” ujar beliau.

Muhyiddin turut memuji kesungguhan pengurusan sekolah memenuhi SOP ditetapkan bermula daripada ketibaan pelajar sehingga mereka pulang dan menyaksikan sendiri saringan suhu dibuat di pintu masuk sekolah, sebelum ditulis di atas pelekat yang kemudiannya dilekatkan di lengan baju pelajar.

Lawatan PM Muhyiddin hari pertama sesi persekolahan tingkatan lima dan menyaksikan pengajaran guru di kelas tingkatan Lima selain pelaksanaan SOP penjarakan sosial serta amalan kesihatan di SMK Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Rabu 24 Jun 2020.Kredit Gambar Tan Sri Muhyiddin

“Stesen cuci tangan pula diletakkan di luar bilik darjah bagi memastikan pelajar kerap mencuci tangan dan saya dimaklumkan waktu rehat juga dipecahkan kepada tiga fasa dengan tempahan makanan dibuat melalui guru kelas serta makanan yang ditempah dari kantin atau dibawa sendiri hanya dibenarkan dimakan di dalam kelas.

“Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alhamdulillah… PM berjiwa rakyat… Bukan takat panda delegate kerja saja. Nampak betul2 macam bapak yg ambik berat hal anak2. Mudah-mudahan TSMY sentiasa ikhlas dan Semoga Allah memberi kekuatan dan kesihatan kepada TSMY

Comments are closed.