Shahrel Fikri Fauzi (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Penyerang berbisa Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi percaya beliau berupaya meledak lebih banyak gol apabila saingan Liga Super bersambung September ini.

Pemain berusia 25 tahun itu antara penjaring terbanyak Liga Super selepas menjaringkan tiga gol dalam empat aksi pertama kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini sebelum saingan ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Muhammad Shahrel Fikri yang lebih dikenali sebagai Eky optimis dengan bantuan dan komitmen tinggi dimiliki rakan sepasukan mampu menjadi faktor mendorong beliau terus mencetak gol sekali gus memecahkan dominasi penyerang import sebagai penjaring terbanyak di penghujung musim.

“Nak dapatkan balik momentum (jaringan) selepas liga ditangguhkan selama tiga bulan memerlukan kerja keras dalam latihan. Bagi saya, boleh untuk kekalkan momentum itu bagi meraih selaku penjaring terbanyak musim ini.

“Sudah tentu kita tak tahu keadaan pasukan lawan ketika ini tetapi saya percaya setiap pemain akan berikan terbaik. Seperti pasukan Perak sekarang ada kualiti yang bagus, Insya-Allah saya boleh teruskan momentum jaringan untuk kejayaan Perak,” katanya kepada Bernama.

Kali terakhir Anugerah Kasut Emas dimenangi pemain tempatan adalah pada musim 2011 apabila pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya dinobatkan sebagai penerima anugerah itu selepas menjaringkan 20 gol.

Sementara itu, bekas penyerang prolifik pasukan PKNP FC itu berkata Perak berada di landasan tepat untuk mencabar pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan takhta musim ini.

Katanya skuad ‘The Bos Gaurus’ perlu memanfaatkan empat aksi di gelanggang sendiri dalam baki tujuh perlawanan terakhir musim ini selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengubah format saingan kepada 11 perlawanan daripada keseluruhan 22 aksi.

“Sekiranya dapat raih mata yang diinginkan dalam tujuh aksi kami boleh beri saingan kepada perebutan kejuaraan. Peluang itu agak cerah jika kita dapat raih tiga mata di gelanggang sendiri,” jelas penyerang terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 itu.

Perak yang meraih dua kemenangan dan dua seri dalam empat aksi pertama kini dipisahkan dua mata di belakang JDT yang kini menerajui takhta liga dengan10 mata.- BERNAMA