Nur Azlia Syafinaz (belakang) dan Nurul Suhada Zainal.

KUALA LUMPUR – Jurumudi berbasikal para kebangsaan, Nur Suhada Zainal mengintai peluang memburu slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bersama pasangannya, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dalam acara tandem.

Anggota polis berpangkat Lans Koperal itu berkata kejayaan meraih tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia bersama Nur Azlia Syafinaz, jelas membakar semangat mereka untuk meraih tiket ke Tokyo.

Beliau memaklumkan skuad berbasikal para negara masih berpeluang layak ke Tokyo menerusi beberapa kejohanan antarabangsa tahun depan, termasuk Kejohanan Piala Dunia yang dijadual berlangsung awal 2021, namun Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) masih belum menentukan venue pertandingan.

“Kejayaan meraih tiga emas pada Sukan Para Asia 2018 sememangnya menaikkan semangat kami, dan sasaran satu slot acara tandem yang ditetapkan jurulatih (Johari Nayan) memberi motivasi terbaik kepada kami untuk memburu slot ke Sukan Paralimpik tahun hadapan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Suhada berkata skuad berbasikal para negara telah menjalani latihan untuk Program Road to Tokyo (RTT) 2020 di sekitar Lembah Klang termasuk Putrajaya, selain di Velodrom Nilai sejak 8 Jun bagi mendapatkan semula rentak kayuhan setelah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Sewaktu pelaksanaan PKP, saya diarahkan untuk kembali bertugas di sekatan jalan raya, manakala Nur Azlia berlatih sendirian di rumahnya di Pulau Pinang.

“Latihan ini diharap dapat membantu mengembalikan semula prestasi kami memandangkan kami masih belum layak ke Sukan Paralimpik 2020,” jelas Nurul Suhada.

Anak jati Selangor itu mula menyertai skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan pada 2012, sebelum diserapkan dalam skuad berbasikal para kebangsaan pada 2018.

Antara kejayaan yang pernah diraih oleh Nurul Suhada dan Nur Azlia adalah tiga pingat emas, masing-masing pada Sukan Para Asia 2018 dan Kejohanan Berbasikal Trek Para Asia 2019 di Indonesia.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast