Nidzam Adzha Yusoff
Nidzam Adzha Yusoff

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff berharap penonton akan diberi lampu hijau untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan meskipun dalam bilangan yang kecil sebaik sahaja Liga Malaysia kembali bersambung.

Jelasnya, tidak mustahil seandainya penyokong diberi peluang untuk hadir ke stadium sepertimana bahagian sektor lain yang telah diberi kebenaran untuk dibuka seperti panggung wayang dan sebagainya yang memerlukan kehadiran orang awam.

Tambah bekas pengendali Kedah ini, ia bukan bermakna stadium akan dibanjiri ribuan penyokong seperti sebelum ini, tetapi sekurang-kurangnya biarlah dalam skala yang lebih kecil dan tetap melakukan penjarakan sosial di tempat duduk penonton.

“Saya setuju sekiranya penyokong dibenarkan hadir ke stadium tetapi biarlah dalam skala yang kecil dahulu dan secara berperingkat.

“Sebagai contoh kalau di tempat duduk Grandstand boleh ditempatkan 500 orang, mungkin untuk sekarang ini boleh benarkan hanya 100 orang dahulu untuk permulaan dan tetap utamakan penjarakan sosial.

“SOP (Prosedur Standard Operasi) ini sama juga macam di lain-lain tempat seperti ke masjid, kedai makan, pusat membeli belah dan sebagainya.

“Sebagai bekas pemain dan kini bergelar jurulatih, sudah tentu kehadiran penyokong cukup penting dalam menyemarakkan semangat pemain di atas padang,” katanya.

Skuad Warga Kota ini telah mendapat kelulusan semalam (Rabu) daripada Malaysian Football League (MFL) untuk kembali berlatih dan mereka akan memulakan latihan pada Isnin depan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (KLFA).

Jelas Nidzam, beliau mengakui pasukan agak terlewat untuk memulakan latihan tetapi tetap positif mampu untuk menguasai corak latihan dalam tempoh yang ada ini sebelum liga dijangka bermula pada September depan.

Apa yang diharapkannya adalah agar latihan Fasa 2 secara “body contact” dapat dilakukan dengan lebih awal agar barisan pemain mampu mendapatkan kembali rentak perlawanan dengan segera.

“Latihan akan dibuat di Stadium KLFA sepanjang tempoh PKPP ini dengan kami bercadang ingin membawa masuk 5 pemain daripada Piala Presiden bagi mencukupkan bilangan pemain seramai 30 orang yang akan dipecahkan kepada 3 kumpulan.

“Kami akui sedikit terlambat turun berlatih jika nak dibandingkan dengan pasukan lain, tetapi kalau Liga Malaysia bermula pada 1 September, saya rasa kami mempunyai masa mencukupi untuk mempersiapkan pasukan.

“Namun jika liga bermula awal, kami akan cuba sedaya upaya selain berharap latihan Fasa 2 untuk pemain semua berkumpul dapat dilakukan lebih awal.

“Ia akan memudahkan perancangan taktikal pasukan tetapi saya faham semua ini hanya tertakluk kepada saranan pihak Kerajaan, dan kita harapkan yang terbaik untuk semua,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast