Ketua Pusat Kecemerlangan (COE) UTeM, Profesor Dr Zahriladha Zakaria (kiri) sedang memberikan taklimat ringkas tentang UTeM Shield di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka semalam.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada sektor yang memerlukan dan bersesuaian dengan situasi semasa.

Sempena dengan bermulanya kembali sesi persekolahan di musim kawalan pandemik Covid-19, UTeM mengambil inisiatif dengan menyampaikan sumbangan pelindung muka yang dihasilkan sendiri oleh universiti itu yang dikenali sebagai UTeM Shield kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka semalam.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, bagi tujuan itu, pihaknya telah menyumbangkan sebanyak 3,000 unit UTeM Shield ini kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Jelasnya, ianya akan dapat digunakan oleh barisan guru di negeri ini sepanjang sesi persekolahan yang melibatkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam tempoh kawalan pada musim pandemik ini.

UTeM Shield ini telah diserahkan oleh pihak pengurusan UTeM terus kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad di pejabat beliau di Jalan Istana, Bukit Beruang, semalam.

Menurut Dr Mohd Azam, pihak JPN amat mengalu-alukan sumbangan ini dan merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak UTeM atas inisiatif dan keprihatinan ini.

Katanya, UTeM Shield ini dapat membantu kumpulan guru agar dapat mereka gunakan dalam sesi persekolahan yang telah pun bermula.- MalaysiaGazette