Amyza Aznan. foto NOOREEZA HASHIM, 01 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pelakon Amyza Aznan berkata beliau bersedia menerima dokumen tuntutan saman daripada Zarina Anjoulie.

Bagaimanapun beliau mempelawa peguam artis berkenaan, iaitu Nurul Hafidzah, hadir menyerahkan dokumen berkaitan kepadanya di Astro pada jam 4 petang 29 Jun ini.

“Berdasarkan nasihat yang diterima dan informasi yang baru saya ketahui melalui sebaran media pada hari semalam (25 Jun), maka saya bersedia untuk menerima dokumen dari peguam yang mewakili Zarina Anjoulie iaitu Nurul Hafidzah.

“Saya mohon Nurul Hafidzah hadir ke bangunan Astro di Bukit Jalil pada hari Isnin, 29 Jun 2020, pukul 4:00 petang untuk menyerahkan dokumen tersebut,” katanya dipetik Gempak.

Semalam, Mahkamah Tinggi mengarahkan Amyza untuk hadir ke mahkamah pada 10 Julai ini bagi pendengaran kes saman sebanyak RM3 juta ke atasnya berhubung kenyataan berbaur fitnah berkaitan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) untuk artis.

Hakim Datuk Azimah Omar mengarahkan peguam, Nurul Hafidzah Hasan mewakili Zarina sebagai plaintif untuk menyerahkan surat pemberitahuan kepada defendan.

Sebelum ini, peguam Zarina membuat permohonan di Mahkamah Tinggi bagi memasukkan penghakiman terhadap Amyza yang sehingga kini tidak memberi sebarang maklum balas berhubung kes itu yang mana permohonan tersebut difailkan pada Jun lalu. -MalaysiaGazette