Dr. Asmah Razalli

KUALA LUMPUR – Wirawati Putra Malaysia (Wirawati) mencadangkan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium satu tahun, memandangkan jumlah rakyat yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 mencecah lebih 770,000 orang.

Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, tempoh enam bulan yang diberikan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini terlalu singkat, sedangkan rakyat memerlukan tempoh tertentu untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

“Ketika ini peminjam sewa beli kenderaan boleh menarik nafas lega dengan penangguhan pinjaman, tetapi macam mana dengan mereka yang hilang pekerjaan? Mereka hilang punca pendapatan dan memerlukan tempoh untuk mencari pekerjaan baru.

“Kita harap kerajaan mempertimbangkan tempoh lanjutan penangguhan ini sehingga setahun agar dapat membantu mereka dan sektor terjejas pulih dan mempunyai masa lebih baik untuk mendapat pekerjaan baharu.

“Wirawati sebenarnya berasa terkesan dan sedih dengan perkongsian statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 15 Jun lalu, di mana sejumlah 778, 800 rakyat telah hilang pekerjaan setakat April lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, penutupan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan memberi kesan kepada ekonomi seperti kehilangan pekerjaan dan syarikat tutup atau cenderung mengecilkan jumlah pekerja bagi meringankan kos operasi.

Justeru, jelas Dr. Asmah, tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman akan berakhir September ini, tetapi rata-rata sektor terjejas serta mereka yang majoriti hilang pekerjaan masih tidak mampu menanggung hutang kerana tiada sumber pendapatan.

“Statistik penggangguran meningkat 5.0 peratus setakat ini, iaitu terbanyak berbanding 3.9 peratus tahun lalu, yang melibatkan 778,800 bekas pekerja.

“Jumlah pekerja bukan sahaja menurun, malah individu perseorangan juga turut terjejas kerana mereka yang bekerja di sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti penginapan, makanan, rekreasi serta lain-lain terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

“Pekerja penerbangan yang diberhentikan kerja seperti pramugari, pramugara, juruterbang, pekerja pelancongan, pemandu pelancong, pemandu bas serta ramai lagi yang kebanyakannya belia mempunyai masalah membuat bayaran balik penangguhan selepas September ini,” ujarnya.

Kesannnya, tegas beliau, ramai individu yang bakal menghadapi disenarai hitamkan nama mereka dan bankrupsi oleh institusi perbankan.

Beliau berharap, kerajaan dapat menimbal balik pandangan serta nasib rakyat kerana selama ini bank tidak mengalami kerugian.

Katanya, amat malang jika niat baik kerajaan untuk membantu rakyat akhirnya tidak dapat direalisasikan apabila lebih ramai pekerja serta belia yang baharu hendak memulakan kehidupan disenarai hitam mahupun bankrup.

“Moratorium yang diberikan BNM seharusnya dicontohi syarikat kredit yang menawarkan pinjaman seperti sewa beli kereta. Ini kerana, rakyat terbeban dan ini masanya untuk mereka menunjukkan keprihatinan sosial setelah bertahun mengaut keuntungan.

“Kementerian kewangan dan BNM pula perlu memantau polisi syarikat kredit yang sesetengahnya hanya menawar tiga bulan penangguhan, tetapi memaksa pelanggan membayar lebihan ansuran selepas tempoh itu.

“Ini membebankan peminjam kerana terpaksa membayar jumlah yang agak banyak berbanding memanjangkan tempoh pinjaman tanpa faedah,” katanya.

Beliau turut menyarankan Malaysia mencontohi Thailand yang memberi lanjutan penangguhan bayaran balik sehingga setahun.

“Walaupun pelbagai insentif membantu rakyat, namun ramai yang tercicir seperti bantuan Prihatin dan Geran Khas Prihatin yang tidak mungkin dapat membantu rakyat setiap masa.

“Semoga rakyat tidak tertekan dengan bebanan ekonomi yang dirasakan pasca Covid-19  serta produktiviti serta keuntungan perdagangan negara selama ini boleh dipertingkatkan setelah rakyat pulih dari fasa ekonomi akibat wabak itu,” kata beliau.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

Comments are closed.