Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) beramah mesra bersama penduduk pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Kampung Bukit Udang, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020.

CHINI – Jika semalam Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjangka Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bakal diadakan pada penghujung tahun ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata parti itu sudah bersedia untuk menghadapi sebarang PRU dalam masa terdekat.

Ujar beliau, jentera Barisan Nasional (BN) sudah pun digerakkan untuk menghadapi pilihan raya terbesar negara itu, kelak.

“Jika sekiranya sebarang kemungkinan samada dalam keadaan terdekat, atau pertengahan atau akhir tahun jentera UMNO dan BN sentiasa bersiap siaga dengan semua jentera di dalam Muafakat Nasional,” katanya dalam program ramah bersama masyarakat Chini di Kampung Bukit Udang, hari ini.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi pula, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata; “Itu kita bincang kemudian,” katanya.

Semalam, Mohamad Hasan menasihatkan semua jentera dan ahli BN agar bersiap sedia bagi menghadapi pembubaran Parlimen pada bila-bila masa.

Jelas beliau, PRU15 dijangka diadakan dalam masa lima bulan akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Kampung Bukit Udang, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 27 JUN 2020.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut berkata, PRK Chini mencerminkan manifestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan PRK yang lalu.

Ia kerana ini kali pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghantar calon untuk PRK setelah membentuk kerajaan pada Mac lalu.

“Sebelum ini kita dengan budaya atas Muafakat Nasional dan atas Penyatuan Ummah tetapi kali ini kita mahu melihat Perikatan Nasional walaupun boleh berdaftar secara rasminya namun semangat itu diterjemahkan sebagai kesinambungan terhadap kejayaan PRK yang lalu.

“Apabila kita ketengahkan Mohd Sharim Md Zain sebagai calon dan dia adalah generasi kedua Felda, ianya bukan hanya manifestasi kepada penyokong Felda, pengundi Kampung Tradisional dan Orang Asli. Saat fikir ini adalah manifestasi bahawa suara anak muda terus dikemundangkan melalui keberadaan beliau sebagai ADUN kelak.

“Saya yakin beliau bukan hanya dapat membawa isu rakyat malah merupakan pemimpin dalam Majlis Belia Felda.

Untuk rekod, PRK Chini merupakan pilihan raya kesebelas selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dua tahun lalu.

Lima PRK dimenangi BN antaranya Cameron Highlands pada 26 Januari 2019, DUN Semenyih pada 2 Mac 2109, DUN Rantau pada 13 April 2019, Parlimen Tanjung Piai pada 16 November 2019 dan Parlimen Kimanis 18 Januari lalu.

Sementara lima lagi PRK dimenangi Pakatan Harapan (PH) iaitu DUN Sungai Kandis, 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia pada 8 September 2018, Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dan Parlimen Sandakan, 11 Mei 2019. – MalaysiaGazette