KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan nelayan tempatan bot laut dalam mengambil warga asing untuk bekerja menangkap ikan.
Ini bagi memastikan bekalan ikan negara mencukupi dan kelonggaran yang diberikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan kepada media hari ini menjelaskan, warga asing itu perlu mendapat kebenaran keluar dari negara masing-masing.
Selain itu, katanya, mereka juga perlu mendapatkan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin wajib selama 14 hari.
“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini memutuskan untuk membenarkan pekerja warga asing bekerja di atas vesel nelayan tempatan menangkap ikan. Tetapi mereka perlu melalui beberapa syarat yang ditetapkan.
“Yang penting majikan menyediakan tempat tinggal bagi pekerja ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut berkata, mana-mana warga asing yang tinggal secara haram di negara ini, tetapi mahu pulang ke negara asal mereka boleh berbuat demikian, dengan beberapa syarat ditetapkan kerajaan.
Ujarnya, mereka perlu membuat perjalanan sehala dan mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing. – MalaysiaGazette