Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani

SHAH ALAM – PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) kehilangan pendapatan sebanyak RM9.2 juta membabitkan Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Wisma Yakin dan Menara Worldwide ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, walaupun terkesan, PREC masih memberi rebat sebanyak RM2.8 juta kepada peniaga iaitu 50 peratus bagi bulan Mac, April juga 50 peratus dan Mei sebanyak 30 peratus serta pembayaran sewa ditangguhkan sehingga bulan Jun tanpa dikenakan sebarang kadar faedah lewat bayar.

“Melihat kepada kesukaran yang dihadapi para peniaga yang rata-rata terkesan dengan impak daripada wabak yang melanda, PREC akan turut menawarkan aktiviti jualan di ruang legar kepada peniaga di dalam pusat beli belah PREC terlebih dahulu bagi membantu meningkatkan jualan mereka,” katanya kepada wartawan.

Menerusi laporan MalaysiaGazette pada Selasa lalu, kesuraman perniagaan di kompleks beli belah SACC Mall berterusan sehingga kini akibat kehilangan kira-kira 90 peratus pengunjung kerana krisis pandemik COVID-19.

Artikel berkaitan: SACC Mall hilang 90 peratus pengunjung

Berikutan itu, puluhan peniaga di premis itu merayu agar mendapat pengecualian sewa atau diberi rebat bagi beberapa

Tambah beliau, PREC sentiasa berusaha untuk mengendalikan kesemua bangunannya dengan penambahbaikan dan pembaharuan bagi memberikan keselesaan bukan sahaja kepada para pengunjung malah peniaga di dalam premis itu sendiri.

“Namun hasrat itu tidak akan dapat dicapai sekiranya masih ada penyewa yang tidak dapat melunaskan tunggakan sewaan yang kini mencecah RM5.4 juta.

“Dengan kekangan aliran tunai sukar untuk PREC membuat pembaharuan kepada premis ini.

“Terdapat pusat beli belah lain yang mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta bagi pengubahsuaian premis untuk menarik pengunjung.

“Sejak PREC ambil alih bangunan milik PKNS, sebahagian besar disalurkan balik untuk tujuan tambah baik dan naik taraf mall kita, boleh dilihat perubahan itu beberapa tahun lalu termasuk tempat letak kenderaan yang luas dan kondusif.

“Bagaimanapun PREC mengalu-alukan mana-mana peniaga yang mahu berunding mengenai tunggakan sewa supaya ia boleh dijelaskan dalam keadaan yang tidak membebankan,” katanya.

Selain itu katanya, PREC juga menyediakan platform e-dagang khusus untuk peniaga pusat beli belah mempromosikan produk mereka iaitu BAZAARLOKAL dengan caj komisen rendah iaitu antara lima peratus ke 12 peratus sahaja.

“Setakat ini lebih 70 peniaga menyertainya dengan 300 produk dipamerkan dan berharap lebih banyak penyertaan menerusi inisiatif ini,” katanya. – MalaysiaGazette