KUALA LUMPUR – Masyarakat tidak boleh menerima kejadian buli di sekolah dan menggesa perbuatan itu dihapuskan tanpa sebarang alasan dan sebab.
Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia), Isham Jalil berkata, jika berlanjutan, beliau percaya sistem pendidikan tidak akan maju kerana mangsa merasa tidak selesa dan takut ke sekolah.
Justeru, beliau berharap pihak sekolah dan kementerian khususnya tidak akan memperkecil-kecilkan kejadian itu atau cuba menyorokkan isu berkenaan di bawah karpet.
“Jika kejadian buli ini terus berlaku, lebih ramai pelajar tidak akan habis pengajian di sekolah mereka kerana menghadapi kesukaran dalam hidup.
“Saya percaya jika ini terjadi kepada anak kita, pembuli itu akan terima padah lebih dari saman,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas kes itu yang berlaku pada Julai tahun lalu, yang mana tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Pahang membuli seorang pelajar perempuan sehingga trauma.
Selain ditampar, diherdik, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu turut dicabul dan sehingga kini masih dalam keadaan trauma serta menerima rawatan dengan pakar psikiatri dan psikologi di sebuah hospital kerajaan.
Mangsa juga turut diberi ubat bagi membantu mengatasi masalah emosinya.
Namun, dalam kes terbaharu, ibu kepada mangsa mengemukakan saman ke atas tiga suspek dan pihak sekolah Khamis lalu, atas dakwaan anaknya telah disakiti secara fizikal dan mental oleh pembuli.
Ibu mangsa, Zaiton Yusoff menuntut lebih RM2 juta dalam usahanya untuk mendapatkan keadilan bagi anaknya
Menurut Isham yang juga Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, kejadian buli di sekolah tidak boleh diterima dan siasatan telus serta cekap perlu dilakukan bagi menghadapkan pembuli ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette
Bgus..klu boloh pembuli ni di penjarakn, biar dia rasa sikit…skit n seksa nya org yg di buli nya…