KUALA LUMPUR – Tekun Nasional (Tekun) Sarawak menafikan dakwaan seorang wakil rakyat negeri itu kononnya agensi berkenaan tidak menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah kepada peserta ‘rider penghantar’.
Menurut Pengurusnya, Roslan Ais, Tekun negeri itu menyedia dan mewujudkan skim berkenaan menerusi Tekun Mobilepreneur 1.0 dengan nilai pembiayaan maksimum sehingga RM2,000.
Kata beliau, skim itu adalah untuk rider e-hailing yang memiliki motosikal dan pembiayaan berkenaan bagi membaiki dan memasang aksesori tambahan.
“Sehingg kini, seramai 211 pemohon rider diluluskan permohonan dan telah menerima pembiayaan dengan nilai RM394,000.
“Skim ini terbuka kepada 500 pemohon terawal dan pemohon perlulah mendaftar sebagai ahli e-hailing terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau membuat kenyataan itu bagi menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How pada 24 Jun lalu yang menyatakan Tekun Nasional tidak menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah dengan nilai sehingga RM10,000.
Kenyataan itu berdasarkan hasil lawatan beliau ke pejabat Tekun Nasional Sarawak pada 23 Jun lalu.
Menurut Roslan, bagi skim pembiayaan Tekun Mobilepreneur 2.0, yang diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyediakan skim pembiayaan dengan nilai maksimum sehingga RM10,000.
Kata beliau, skim telah dibuka untuk permohonan sejak pengumuman tersebut kepada 100 pemohon awal mengikut yang layak dan melepasi syarat ditetapkan.
“Perasmian pelancaran Tekun Mobilepreneur 2.0 akan diadakan pada 7 Julai ini dan kepada semua rider e-hailing yang menepati syarat boleh mula memohon skim ini dengan had kelulusan permohonan kepada 500 rider sahaja.
“Kedua-dua skim yang ditawarkan Tekun Nasional ini terbuka khusus untuk kaum Bumiputera dan India sahaja, manakala skim pembiayaan mikro untuk kaum lain boleh dipohon melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Saya harap kenyataan ini dapat menjawab persoalan yang dibangkitkan ADUN berkenaan dan saya dari awal menyatakan penafian terhadap tuduhan yang dibuat oleh beliau terhadap skim Tekun Mobilepreneur 2.0,” katanya. – MalaysiaGazette
















