Pelakon Fezrul Khan memohon maaf kepada TNB.

KUALA LUMPUR – Pelakon Fezrul Khan yang tampil mengkritik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebaik sahaja menerima bil elektrik berjumlah RM1,943.50 dua minggu lepas telah memohon maaf dan menganggap perkara tersebut telah selesai.

Dalam hantaran di laman Facebook bertarikh 15 June 2020 iaitu tiga hari selepas rungutannya itu disiarkan di portal berita ini, Fezrul memuat naik hantaran mengucapkan terima kasih kepada TNB Kepong.

“Okay la settle. sy minta maaf la banyak2 . terima kasih TNB kepong 😁 0 – 0 ye 🤝 selamat hari raya maaf zahir batin. minta maaf dan terima kasih skali lagi 🤝💖🤗 💖🙏@tenaga_nasional 😘🤲,” tulis beliau dalam hantaran bertarikh 15 Jun.

Pelakon itu ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya turut mengkritik potongan pada kadar 2 peratus diberikan oleh TNB.

Artikel berkaitan: Fezrul Khan tidak puas hati bil elektrik RM1,943.50

Beliau berkata, sepanjang PKP kerja rakaman dilakukannya di rumah menyebabkan beliau perlu menggunakan komputer dan memastikan penghawa dingin sentiasa dipasang untuk menyejukkan ‘server’.

Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, penggunaan elektrik telah meningkat di antara 20 peratus hingga 50 peratus.

Kebanyakan pengguna mungkin tidak menyedari terdapat perbezaan penggunaan elektrik sepanjang tempoh duduk di rumah berbanding hari biasa menyebabkan mereka merungut apabila bil TNB tiba di tangan.

TNB pada 20 Jun lalu mengumumkan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang bermanfaat kepada 7.66 juta pengguna.

Ini bakal menyaksikan kira-kira empat juta pengguna domestik yang mana bil tenaga mereka berjumlah RM77 ke bawah menikmati elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun.

Artikel berkaitan: 4 juta pengguna nikmati elektrik percuma

Ini merupakan tambahan kepada diskaun elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sedia ada dan akan dimasukkan secara sekali gus dalam bil bulan Julai 2020.

Sekiranya pengguna telah membuat bayaran pada bulan April, Mei dan Jun lebihan bayaran ketiga-ketiga bulan tersebut akan dikreditkan ke dalam bil Julai 2020.

Untuk penggunaan elektrik di antara 601-900kWj sebulan, diskaun tambahan lapan peratus akan diberikan bermula April hingga September 2020.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi TNB Careline di 1-300-88-5454 atau emel ke [email protected] atau layari aplikasi atau portal myTNB di www.mytnb.com.my atau kunjungi Kedai Tenaga berhampiran.- MalaysiaGazette