Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun meluangkan masa melihat kakitangan SPR melakukan persiapan terakhir semasa mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2020

CHINI – Seramai 18 orang anggota polis akan mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini, Pahang esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semua pengundi awal itu akan membuang undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini.

Pusat pengundian bakal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi dan sarung tangan serta saringan suhu badan akan dilaksanakan.

“Video tatacara mengundi dalam kebiasaan baharu boleh ditonton melalui Facebook SPR ataupun Akademi Pilihan Raya,” kata Azhar.

Menurutnya, proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen-ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.

SPR juga akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR.

Kertas undi berkenaan akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada Hari Pengundian pada 4 Julai 2020 di pusat pengiraan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai,” ujarnya.

PRK DUN Chini yang dijadual berlangsung pada 4 Julai ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dengan dua lagi calon iaitu Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49. – MalaysiaGazette