KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mampu menyuarakan bebanan ditanggung rakyat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tempoh moratorium dari enam bulan dilanjutkan kepada satu tahun.
Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr. Asmah Razalli berkata, tinggal lagi atas kemahuan Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk berbincang dengan BNM dan Persatuan Bank-Bank Malaysia.
Katanya, apa yang diharapkan oleh rakyat ketika ini selepas mereka kehilangan pekerjaan dan mata pencarian sejak penularan wabak Covid-19 ialah tidak ada tekanan dari mana-mana bank atau institusi kewangan.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan ialah memastikan rakyat tidak terbeban dengan masalah hutang, ketika mereka hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.
“Jadi, dengan meminta BNM dan bank melanjutkan tempoh moratorium sekurang-kurangnya melindungi mereka dari disenaraihitamkan atau muflis kerana tidak dapat menjelaskan hutang berikutan tempoh moratorium sudah tamat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menyerahkan keputusan kepada institusi perbankan negara sama ada mahu melanjutkan tempoh moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman kewangan yang berakhir September ini.
Namun, beliau secara peribadi berpendapat, masyarakat yang terkesan dengan wabak Covid-19 sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu diberi keutamaan untuk dibantu.
Jelas beliau, institusi bank boleh mensasarkan kepada kumpulan yang terjejas seperti hilang pekerjaan dan gaji yang dipotong untuk meneruskan tempoh penangguhan pembayaran itu.
Jumaat lalu, Wirawati Putra mencadangkan kerajaan melanjutkan tempoh moratorium satu tahun, memandangkan jumlah rakyat yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 mencecah lebih 770,000 orang.
Menurut Dr. Asmah, tempoh enam bulan yang diberikan Kementerian Kewangan dan BNM sebelum ini terlalu singkat, sedangkan rakyat memerlukan tempoh tertentu untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
Katanya, beliau menghargai maklum balas Menteri Kewangan itu, tetapi demi rakyat yang sedang berdepan dengan kesukaran, wajar bagi kerajaan memberi kelonggaran itu. – MalaysiaGazette
Sudah bagi betis mahu peha.