Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr. Noor Zari Hamat (tengah) bergambar dengan penerima-penerima bantuan BBK pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan (Pentadbiran) kepada Badan Bukan Kerajaan (BBK) di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Bantuan kewangan (Pentadbiran) yang disumbangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mampu menyuntik semangat pemain industri untuk terus konsisten dalam mempromosikan industri pelancongan dalam negara.

Malah, pemberian bantuan yang tidak disangka-sangka itu menjadi motivasi kepada pemain industri berkenaan untuk terus membantu kerajaan selepas banyak industri di dalam negara kini “gulung tikar” akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Rata-rata pihak yang menerima bantuan tersebut melahirkan rasa syukur atas keprihatian pihak kementerian yang memahami masalah yang sedang dihadapi mereka pada ketika ini.

Bagi Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, Baba Cedric Tan, bantuan itu akan digunakan bagi memulihkan pentandbiran persatuannya yang turut terjejas akibat penularan wabak Covid-19 sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata, wang tersebut akan dibelanjakan untuk pembiayaan bil-bil seperti air, eletrik dan sebagainya.

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, Baba Cedric Tan

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak kementerian yang telah mengambil inisiatif ini untuk membantu persatuan kami yang sememangnya banyak membantu mempromosikan masyarakat baba dan nyonya sama ada kepada pelancong dalam mahupun luar negara.

“Operasi kami sememangnya turut terjejas akibat penularan wabak Covid-19 ini dan sumbangan yang diterima akan kami manfaatkan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu Cedric Tan berkata, sebahagian daripada bantuan yang diterima akan digunakan untuk mempromosikan buku berkaitan baba dan nyonya yang sudah diterbitkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Generasi Seni Malaysia, Siti Rohayah Attan pula memberitahu, beliau sangat bersyukur kerana persatuannya tersenarai untuk menerima bantuan berkenaan.

Beliau berkata, meskipun jumlah yang diterimanya tidak banyak, namun, pemberian bantuan itu sangat bermakna lebih-lebih lagi banyak pihak sedang tersepit akibat penularan wabak Covid-19 ketika.

Presiden Persatuan Genarasi Seni Malaysia, Siti Rohayah Attan

“Bantuan ini sangat bermanfaat kepada persatuan kami. Saya akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin dengan memfokuskan kepada tujuan asal iaitu membaik pulih operasi pentadbiran,” ujarnya.

Dalam satu majlis di ibu negara hari ini, sebanyak 37 badan bukan kerajaan (BBK) menerima bantuan kewangan daripada MOTAC untuk tujuan pemulihan pentadbiran.

Bantuan disampaikan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. Sebanyak RM318,000 diperuntukan oleh MOTAC untuk tujuan berkenaan. – MalaysiaGazette