Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Salah seorang dari dua warga Kemboja yang dikesan positif Covid-19 selepas balik ke negara asal merupakan bekas pasakit berusia 23 tahun yang telah menerima rawatan di negara ini.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seorang lagi rakan pesakit tersebut yang berumur 15 tahun yang turut dikesan positif virus itu di Kemboja merupakan seorang pelajar tahfiz di negara ini.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia baru dimaklumkan oleh International Health Regulation di Kemboja mengenai perkara itu dan aktiviti pengesanan kontak rapat akan dipergiatkan segera.

“Kalau kita lihat kedua-dua kes berkenaan, salah seorang daripada mereka (warga Kemboja) merupakan kes lama di Malaysia iaitu kes ke-1051 dan walaupun mereka telah dikesan positif tetapi mungkin ‘virus shading’ (peluruhan virus).

“Jadi mungkin yang kita discaj itu tak dibimbangkan tetapi mereka masih dikesan positif menggunakan real-time reverse transcription polymerase chain reaction (rRT -PCR) di Kemboja yang sangat sensitif.

“Namun yang dikesan ialah ‘virus mati’ terhadap bekas pesakit iaitu kes aktif 1051 kita dulu, yang satu lagi seorang lagi merupakan pelajar tahfiz,” katanya pada sidang media di KKM hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan lapangan terbang kedua-dua negara untuk mengenalpasti individu-individu yang terdedah dengan kedua-dua kes tersebut.

“Kita akan mengesan penumpang yang duduk di barisan depan dan di belakang kedua-dua kes positif Kemboja di dalam pesawat tersebut.

“Kemudian pengesanan kes akan dilaksanakan dan ujian saringan Covid-19 akan dilibatkan ke atas mereka untuk memastikan kesemua penumpang lain negatif Covid-19,” ujarnya. -MalaysiaGazette