Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Pendengaran kes penyingkiran Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa ditangguhkan hari ini.

Ini berikutan tindakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah memfailkan afidavit bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bagi menyokong penyingkiran Sri Ram semalam.

Oleh yang demikian, pendengaran yang sepatutnya diadakan pada hari ini ditangguh kepada 13 Julai depan bagi memberi ruang kepada Jabatan Peguam Negara membuat persedian susulan affidavit Apandi.

Perkara itu diberitahu oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kerana pemberita tidak dibenarkan mendengar pendengaran itu, sebaliknya hakim hanya bertemu kedua-dua pihak di kamarnya.

Kata Shafee, selepas pertemuan itu, pihaknya telah memberi notis pemberitahuan bahawa pihaknya akan mengguna pakai afidavit Apandi dalam permohonan penyingkiran Sri Ram.

“Mahkamah akan beri masa kepada pendakwaan dari Jabatan Peguam Negara untuk memberikan jawapan maklum balas.

“Jawapan yang diberikan oleh Sri Ram juga akan dimasukan ke dalam dalam kes ini. Hakikatnya kita tidak boleh buang masa lagi dan mula semuanya dari awal.

“Saya tidak mahu buang masa dan mulakan semuanya dari awal kerana ketika ini perbicaraan sudah berjalan sebenarnya,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya kemudian menangguh dan menetapkan 13 Julai depan untuk pendengaran berhubung penyingkiran Sri Ram daripada mengetuai perbicaraan 1MDB.

Pada 14 Jun lepas, pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam kes pinda laporan audit 1MDB yang disokong oleh afidavit Apandi.

Dalam afidavit itu, Apandi mengulangi dakwaan yang dibuatnya di media sosial beberapa minggu lepas bahawa Sri Ram pernah memujuknya untuk menangkap Najib yang ketika itu masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri.

Malah dakwa Apandi, Sri Ram mendedahkan arahan itu sebenarnya datang dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sepatutnya hari ini Mahkamah Tinggi mendengar satu lagi permohonan Najib untuk menyingkirkan Sri Ram daripada perbicaraan berkaitan 1MDB terhadapnya.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi pernah menolak permohonan Najib untuk menangguh perbicaraan bagi menunggu keputusan permohonan penyingkiran Sri Ram manakala Mahkamah Rayuan pula memberi kebenaran untuk Najib teruskan permohonan penyingkiran itu.

Pada masa sama, Mahkamah Persekutuan pula mengembalikan permohonan itu kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat keputusannya.

Sri Ram yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan ketika ini mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB.

Beliau juga mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram RM9.5 juta melibatkan Shafee yang masih belum bermula. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.