Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengarahkan polis menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang bertanggungjawab mengubahsuai Jata Negara.

Menurut beliau, mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa Lambang Kerajaan Persekutuan, iaitu Jata Negara.

“Saya telah arahkan polis untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan yang tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kulit sebuah buku bertajuk, ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’, yang menimbulkan kegusaran orang ramai kerana secara terang-terangan mempermainkan Jata Negara.

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan itu, turut dikongsi di pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books.

Berikutan itu, ia menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, termasuk rakyat yang mahu tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab mempermainkan lambang kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast