KUALA LUMPUR – Langkah S&P Global Ratings untuk menyemak semula prospek penarafan kredit ke atas Malaysia adalah dijangka berikutan ia dicetuskan oleh tindakan dasar yang wajar dalam persekitaran kemerosotan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga).

Pada 26 Jun, S&P mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada tahap A-, tetapi menyemak semula prospeknya daripada “stabil” kepada “negatif”.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Kenanga berkata, penurunan itu berikutan risiko penurunan yang meningkat terhadap kedudukan fiskal negara dengan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik yang meningkat.

“Langkah itu tidak mengejutkan, berikutan sebelum ini Fitch pada April, dengan Moody’s dijangka turut mengambil langkah sama.

“Negara-negara ASEAN utama lain turut berdepan dengan penurunan terhadap prospek penarafan kredit mereka, berikutan langkah-langkah dasar fiskal yang luar biasa dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi yang terjejas oleh krisis kesihatan,” katanya.

Artikel berkaitan:S&P turunkan penarafan Malaysia kepada negatif

S&P mengunjurkan penguncupan pertumbuhan sebanyak 2.0 peratus, dengan defisit fiskal naik kepada 6.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Agensi penarafan itu berkata penguncupan tersebut mencerminkan impak daripada pandemik itu kepada perdagangan, pelaburan dan penggunaan swasta.

Bagaimanapun, Kenanga berkata beberapa tindakan penting untuk memastikan penarafan yang mampan atau lebih baik pada masa depan, bermula dengan kestabilan politik.

“Kemelut politik tempatan telah dinyatakan oleh S&P sebagai faktor yang memburukkan jangkaan dan kesinambungan dasar.

“Kami bersetuju dengan pandangan ini, berikutan perubahan yang berterusan dalam keutamaan dasar menganggu kemajuan kukuh dalam inisiatif pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal,” katanya.

Meneruskan pengukuhan fiskal yang tepat pada masanya, dengan usaha kepelbagaian pendapatan yang kukuh juga positif untuk keputusan penarafan negara, kata Kenanga.

“Walaupun perbelanjaan fiskal yang besar wajar dalam persekitaran semasa, penting untuk menambah baik sasaran dan pelaksanaan dasar untuk memastikan semua langkah yang diumumkan disalurkan dengan baik dan cekap kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast